PETALING JAYA: Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan susulan cadangan untuk mewujudkan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.
Ia sebagaimana cadangan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini sehingga mengundang kekeliruan orang ramai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu menjelaskan, pada masa ini kerajaan bersetuju untuk membincangkan cadangan tersebut terlebih dahulu dalam mesyuarat Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) akan datang.
“KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad berkata, sebarang pengumuman atau ketetapan hendaklah dibuat berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Pada 14 Februari lalu, Syed Abu Hussin mengumumkan kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) bermula 19 Februari ini.
Syed Abu Husin yang juga Pengerusi Naccol berkata, ekoran itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan. – UTUSAN










