Bekas pengurus tak mengaku ambil suapan RM145,300 - Utusan Malaysia

Bekas pengurus tak mengaku ambil suapan RM145,300

Imigresen Bangladesh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat pelaburan hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas 10 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM145,300 pada Ogos 2021 hingga Oktober 2022.

Tertuduh, Dicky Rahmat Abdullah, 49, membuat pengakuan demikian selepas mendengar kesemua pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, semalam.

Berdasarkan keseluruhan pertuduhan, Dicky didakwa menerima suapan daripada dua pemilik syarikat berlainan berjumlah keseluruhan RM145,300 menerusi tunai dan transaksi pindahan atas talian sebagai dorongan dan upah membantu dua pemilik syarikat mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan pembekalan di bangunan kepunyaan syarikat pelaburan hartanah itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Bandar Baru Klang serta sebuah premis di Seksyen U2, di sini 22 Ogos 2021 hingga 16 Oktober 2022.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin sementara tertuduh diwakili Peguam Najib Zakaria.

Mahkamah menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin warga tempatan beralamat di Selangor atau Kuala Lumpur selain perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya serta menyerahkan pasport.

Tertuduh juga dilarang berhubung dan mengganggu saksi-saksi kes dan tarikh sebutan semula ditetapkan 3 April depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN