DUNGUN: Banjir besar yang berlaku di daerah ini pada minggu lalu menyebabkan lapan buah sekolah mengalami kerosakan yang dianggarkan melibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, kerosakan itu melibatkan infrastruktur sekolah dan aset termasuk perabot dan buku pelajar.
“Kita telah kenal pasti lapan buah sekolah di daerah ini yang mengalami kerosakan yang mana daripada jumlah itu, sekolah yang terjejas teruk adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor di Hulu Dungun.
“Dua sekolah ini memang kita beri fokus kerana banyak kerosakan yang dialami dengan keadaan lumpur yang memenuhi kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pembersihan di SK Pasir Raja, di sini, hari ini.
Menurutnya, enam buah sekolah lain yang turut mengalami kerugian ialah SK Delong, SK Minda Talong, SK Jongok Batu, SK Kuala Jengai, SK Tepus dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.
Shafruddin berkata, kerja-kerja pembersihan SK Pasir Raja dan SK Kampung Shukor yang memasuki hari kelima dibantu pelbagai agensi termasuk bomba dan penyelamat, polis, institusi pengajian tinggi serta beberapa badan bukan kerajaan.
“Hari ini memang ramai sukarelawan yang turun padang menggembleng tenaga membantu membersihkan kawasan sekolah dan hanya 30 peratus lagi kerja-kerja pembersihan yang perlu dilakukan di luar bilik darjah.
“Pada pengamatan saya, Insya-Allah sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa selepas ini dan pihak sekolah juga sedang menyusun semula perabot serta kerusi dan meja pelajar,” katanya. – UTUSAN










