Azwan Ali terlalu sayangkan 'Rosmah' - Utusan Malaysia

Azwan Ali terlalu sayangkan ‘Rosmah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ROSMAH, oh Rosmah! Asyik dapat baby je.” Itu butir-butir bebelan yang dapat didengar usai melangkah masuk ke premis Cat Zouk Malaya yang terletak di Putrajaya. 

Sudah menjadi rutin mingguan Azwan Ali, 57, memanjakan lapan ekor kucing kesayangan miliknya di premis yang menawarkan perkhidmatan boarding dan grooming si bulus. 

Katanya, ‘Rosmah’ merupakan kucing kesayangan daripada baka Persian yang dihadiahkan oleh seorang peminat semasa menjadi pengacara majlis di Wangsa Maju pada 2019. 

“Rosmah adalah ibu bagi segala ibu sebab dialah yang melahirkan tujuh ekor kucing lain milik saya. 

“Pengorbanan Rosmah terlalu besar dan sepanjang proses mengandung banyak kali juga dia mengalami keguguran sehingga menyebabkan 20 ekor anaknya tidak berjaya diselamatkan akibat diserang virus parvo,” katanya kepada Seri, baru-baru ini.

Membela kesemua kucing daripada baka yang sama sudah tentu menuntut kos yang tinggi. Katanya, dalam sebulan dirinya akan berhabisan sebanyak RM2,000 bagi tujuan berkenaan. 

Ini katanya, merangkumi kos pembelian pasir, suntikan vaksin berjadual, makanan serta perkhidmatan mendaftar di hotel kucing ketika dia pulang ke kampung atau ke luar negara. 

“Alhamdulillah, mereka tak buang air besar atau kencing merata-rata. Mereka tahu jaga kebersihan dan tempat untuk melunaskan hajat. 

“Saya menyediakan bilik khas untuk kucing ini yang dilengkapi dengan segala peralatan buat mereka bermain, tidur dan makan,” kongsinya yang menggelarkan dirinya sebagai Tok Wan Diva kepada kucing berkenaan.  

PENGUBAT RINDU 

Walaupun kekal membujang hingga kini, Azwan memberitahu tidak pernah berasa sunyi kerana si bulus bagaikan anak kandungnya yang disifatkan terlalu manja dengan dirinya. 

“Bayangkan kalau saya balik ke rumah, kesemua kucing akan berkumpul di depan pintu rumah  menyambut kepulangan diri ini. 

“Hilang segala kepenatan bekerja apabila melihat kucing ini satu-persatu. Bagi saya, bela kucing ini terlalu besar hikmahnya. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus kerana mereka juga adalah binatang kesayangan Nabi Muhammad SAW,” ujarnya. 

Berpengalaman membela kucing selama lebih 10 tahun, membuatkan Azwan benar-benar memahami tingkah laku dan gerak-geri kucingnya. 

Pesannya, setiap individu perlu memastikan kucing mereka tidak diserang penyakit kutu yang berisiko boleh membunuh mereka pada bila-bila masa. 

“Sebab itu, saya akan hantar mereka ke Cat Zouk Malaya bagi tujuan kebersihan seperti mandi, dandanan dan sesi bermanja di sini. 

“Saya mahu mereka semua kelihatan sihat, ceria dan tidak monyok. Selalunya, saya akan luangkan masa seharian bersama kesemua kucing di premis ini,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN