SHAH ALAM: Penyanyi, Noh Salleh terkejut dengan tindakan bekas isterinya, Mizz Nina yang menarik balik kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkat mereka, Musa Mohammad Noh Abdullah.
Penyanyi Angin Kencang itu berkata, meskipun keliru dengan keputusan Mizz Nina, dia tetap berharap diberi keadilan sewajarnya setelah berdepan tuduhan melarikan kanakkanak tersebut sebelum ini.
“Saya terkejut, dia (Mizz Nina) minta saya datang mahkamah, kemudian dia menarik kes. Ketika proses Sulh pun tiada apa yang terjadi. Jadi tunggu esok (hari ini) di hadapan hakim.
“Harapan saya semoga ada kebenaran kerana saya sudah dianiaya di hadapan khalayak ramai, saya hanya mahu kebenaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya. Noh berharap dia diberi hak sama rata untuk menjaga anak angkatnya itu.
“Saya perlu menjawab kerana tuduhan melarikan Musa sebelum ini adalah tidak adil buat saya. Apa sebenarnya permainan dia? Saya hanya mahukan kebaikan untuk Musa.
“Tiada perjanjian hak penjagaan seperti yang didakwa pihaknya, kalau ada sila tunjukkan. Surat yang dikatakan hanya akuan berkanun, tidak boleh diguna pakai dalam kes ini dan surat itu sudah ditarik balik.
“Kalau boleh saya juga mahu menjaga Musa, ada sebab saya buat begitu. Saya tidak sukasuka masuk hal rumah tangga orang. Itu bukan anak dia. Saya sudah dapat surat pengesahan daripada ibu kandung Musa,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Noh iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin berkata, tiada sebarang dokumen penyerahan dikemukakan.
“Dalam dokumen penjagaan itu tertera dua nama, Noh Mizz Nina. Jadi tiada isu. Tiada dokumen penyerahan hanya ada dokumen penjagaan.
“Dua-dua ada hak, isunya sekarang hak itu ada pada siapa. Siapa yang menidakkan siapa?” soalnya.
Noh dan Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011. Namun mereka bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.










