Apa bukti Mizz Nina penjaga tunggal Musa yang sah? - Noh Salleh - Utusan Malaysia

Apa bukti Mizz Nina penjaga tunggal Musa yang sah? – Noh Salleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina berbohong apabila menetapkan dirinya sebagai satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa.

Ujar Noh, sehingga ke hari ini, Nina gagal menunjukkan sebarang akuan berkanun atau dokumen sokongan yang sah yang menetapkan dia penjaga tunggal, sekaligus menafikan hak Noh sebagai penjaga Musa seperti didakwa sebelum ini.

“Ibu kandung Musa juga telah membenarkan saya untuk menjaganya menerusi akuan berkanun yang dia sendiri serahkan kepada saya. Kami telah buktikan dan tunjuk surat itu kepada pihak Nina.

“Dan nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Nina. Jadi mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut?

“Apa buktinya yang dia penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen yang menyokong dakwaan tersebut? Nampak tak macam mana dia bermain dengan semua dakwaan ini? Saya boleh buka semua bukti dari awal, sebab semuanya ada bersama saya. Tetapi saya tak mahu dedahkan aib bekas isteri saya.

Semalam, pihak Mizz Nina bertindak memfailkan penarikan semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan inter-parte hak penjagaan sementara.

Peguam syarie mewakili Mizz Nina, Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan tiada proses sulh berlaku semalam dan hari ini pihak Mizz Nina akan kembali mengesahkan keputusan mereka di hadapan hakim.

Sebelum ini, Nina mendakwa Noh pada 19 Disember lepas telah membawa keluar Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya sebagai penjaga sah kanak-kanak berkenaan.

Ujar Nina, perkara itu berlaku ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Pemilik nama sebenar Shazrina Azman itu menyifatkan tindakan bekas suaminya itu sebagai satu pengkhianatan yang mengguris emosinya selaku ibu susuan Musa.

Nina kemudian telah mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan Musa kembali ke pangkuannya.

Susulan itu, Noh dalam kenyataan sebelum ini menegaskan dakwaan dia menculik kanak-kanak berkenaan adalah fitnah kerana telah mendapat kebenaran ibu kandung untuk menjaga Musa.

Noh, 39, juga telah melunaskan tuntutan ibu kandung Musa, Athira dengan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara itu.

Pada masa yang sama, Noh, 39, menerusi Instagram (IG), bersetuju untuk melunaskan beberapa tuntutan lain termasuk menarik semula kenyataannya sebelum ini selain memadam gambar Musa di media sosial.

Dalam pada itu, Noh juga memaklumkan dia berusaha untuk berjumpa Musa selepas bercerai dengan aktivis berkenaan namun kehendaknya itu ditidakkan apabila semua komunikasi dengan Nina dan keluarganya disekat sepenuhnya.

“Saya boleh buktikan yang dia menyekat komunikasi dengan menyekat nombor saya. Saya ada bahan yang membuktikan saya telah hubungi ibunya, pembantu peribadinya, kakak iparnya. Semua sekat nombor saya.

“Jadi untuk dia mendakwa saya tak pernah datang untuk berjumpa Musa selepas kami bercerai adalah tidak benar sama sekali. Dia dah sepenuhnya sekat saya,” jelasnya.

Noh dan Nina mendirikan rumah tangga pada Julai 2011 namun memutuskan bercerai pada Ogos 2022. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN