Anugerah iktiraf insan seni dan kreatif - Utusan Malaysia

Anugerah iktiraf insan seni dan kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIKTIRAF pemain industri yang banyak melakukan sumbangan dalam lapangan seni boleh dilakukan dalam pelbagai cara antaranya menerusi peranugerahan kepada insan seni yang layak.

 Sehubungan itu, bagi tahun keempat,  Persatuan Fesyen, Model, dan Pageant Malaysia (MFMPA) menganjurkan acara sama dengan mengekalkan 60 anugerah kepada individu yang layak berdasarkan pelbagai kategori. 

Presidennya, Dr. Jason Hee berkata, kesemua pemenang yang dipilih umpama duta kecil negara seperti dalam bidang kecantikan, peragaan, media, tatarias, muzik dan lakonan. 

“Bagi kategori fesyen, kami mempunyai pereka fesyen dan kurator fesyen. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan sumbangan berterusan kepada negara serta meningkatkan pelancongan tempatan dan budaya. 

“Industri hiburan pula membariskan pelbagai tokoh ternama yang bakal mengisi kerusi juri serta pemilihan dan tapisan akan dibuat secara teliti.

“Selain itu, kita juga turut mempertandingkan kategori media iaitu bagi penulis yang banyak menghasilkan kisah gaya hidup. Agensi kerajaan yang banyak menjadi lokasi penganjuran acara juga akan menerima anugerah,” katanya semasa sidang akhbar di Matic, baru-baru ini.

Sebanyak 60 anugerah dipertandingkan membabitkan pengurusan acara, dandanan rambut, tatarias, media, agensi perhubungan awam, syarikat produksi, pereka grafik, pelakon serta sektor berkaitan hiburan.

Antara barisan juri yang bakal mengadili setiap peserta ialah Bon Zainal, Amber Chia, Carrie Lee, Datin Winnie Loo, Datin Maylene Yong, Datuk Nancie Foo serta ramai lagi.  

Acara berprestij yang mengiktiraf pelbagai individu yang berpotensi besar dalam industri seni itu bakal dianjurkan pada 29 Februari depan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 

Hee yang juga pengasas Miss Malaysia Kebaya (MMK) memaklumkan MFMPA dibuka untuk pencalonan kepada umum sehingga tarikh tutup, 7 Februari depan. 

Acara itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pusat Pelancongan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak 2020 hingga 2023.

Objektif utama MFMPA adalah untuk mengiktiraf sumbangan pemain industri fesyen, model, pageant yang pernah menempa kejayaan di dalam dan luar negara.  

Matlamatnya bagi menggalakkan sumbangan berterusan kepada negara serta memupuk kerjasama dengan pihak kementerian untuk meningkatkan pelancongan tempatan, budaya, dan industri hiburan.

Bagi penganjuran MFMPA 2022, seramai 60 individu diraikan. Antara pemenangnya ialah DJ Leng Yein, Jang Han-BYUL, Wani Kayrie, Asyraf Nasir, Pong Pong serta ramai lagi.  

Hee berkata, beliau menjangkakan anugerah itu menerima 200 penyertaan daripada pengiat seni dan nsan kreatif tanah air. 

Mengulas mengenai pencapaian tahun lalu, katanya sejak diperkenalkan empat tahun lalu acara ini berjaya menarik 300 kehadiran. 

“Tahun lalu, kita anjurkan di hotel yang dapat menampung 250 orang. Sebelum itu, kita buat di dewan di Bukit Jalil dan Genting Highlands. 

“Disebabkan kekangan masa yang agak terhad, kita tidak membuka penyertaan terlalu besar,” jelasnya. 

REAKSI 

“SEBAGAI juri, saya mencari pereka fesyen yang mempunyai keaslian dalam rekaan masing-masing serta sumbangan mereka terhadap industri fesyen baik di peringkat tempatan atau antarabangsa.” 

BON ZAINAL 

PEREKA FESYEN 

“KALAU filem Mechamato berjaya membuatkan kanak-kanak Jepun tengah ketagih dengan karipap, saya berharap dengan penganjuran acara ini juga dapat mengangkat pelbagai elemen lain yang terkandung dalam budaya kita. 

“Semoga pembikin filem tempatan dapat memasukkan pelbagai elemen lain ke dalam naskhah yang dihasilkan nanti.” 

DATUK KAMIL OTHMAN 

Pengerusi FINAS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya