PETALING JAYA: “Kami berasa kecewa kerana Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.”
Demikian luahan anak perempuan bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa, 36, selepas bapanya mendapat pengurangan bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Bagaimanapun, Nooryana yang lebih dikenali sebagai Yana Najib berkata, beliau dan keluarganya tetap menghargai keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
“Najib dan keluarga kekal dengan pendirian serta yakin bahawa beliau (Najib) tidak bersalah. Mereka yang mengikuti kes SRC International Sdn. Bhd. secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak (Datuk Abdul Rahman Sebli) tahun lepas.
“Bahawa ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Najib serta keputusan yang betul ialah wajar dilepaskan dan dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan mengumumkan, Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 selepas hukuman penjara yang ditetapkan selama 12 tahun sebelum ini dikurangkan.
Menurut kenyataan itu, denda yang perlu dibayar oleh Najib juga dikurangkan iaitu daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, menurutnya, jika Najib tidak membayar jumlah denda yang ditetapkan itu maka tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun dari tarikh pembebasannya iaitu 23 Ogos 2028. – UTUSAN










