Ameer Safone epitome keberanian buat Amirul Safuan - Utusan Malaysia

Ameer Safone epitome keberanian buat Amirul Safuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Komited untuk meneroka pasaran minyak wangi tempatan termasuk di peringkat antarabangsa, jenama Ameer Safone melancarkan tiga rangkaian eksklusifnya sebagai tanda pengenalan kepada semua penggemar wangian.

Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures , Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, tiga wangian tersebut iaitu Baiduri, Srikandi dan Mahkota dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut selera masing-masing.

Menurut Amirul, jenama Ameer Safone diyakini mampu menjadi sebahagian daripada kejayaan integral Malaysia dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2023.

Jenama ini, katanya, mampu berdaya saing menerusi sokongan pihak kerajaan yang kemudiannya mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi terutama kepada golongan kurang upaya untuk lebih aktif terlibat dalam pembangunan ekonomi negara.

Malah, Amirul berkata, jenama Ameer Safone juga diyakini mampu menjadi sebahagian daripada teras pembangunan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.

Berkongsi mengenai cetusan perniagaan, Amirul yang memulakan langkah dalam bidang keusahawanan sejak setahun lalu mengakui bahawa dunia wangian tidak asing bagi dirinya memandangkan sejak sekian lama merupakan penggemar dan pengumpul koleksi minyak wangi dari seluruh dunia.

“Idea ini datang kerana saya sendiri sebenarnya adalah peminat minyak wangi. Saya mempunyai banyak koleksi wangian daripada pelbagai jenama terkemuka dunia. Malah, minyak wangi juga membuatkan saya sentiasa teringat akan Allahyarham ibu tersayang.

“Saya percaya bahawa wangian juga mampu menjadi ‘mesin masa’ yang membawa kita kepada memori atau nostalgia lalu,”katanya.

Menurut Amirul, meskipun sedar bahawa wujud persaingan sengit dalam dunia perniagaan minyak wangi khususnya bagi produk tempatan, ia bagaimanapun bukan satu halangan untuknya mengambil peluang untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan.

“Memang pada awalnya ramai yang skeptikal sebab saya tak pernah menjalankan perniagaan minyak wangi. Bagaimanapun, saya memiliki latar belakang dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan sebelum ini.

“Jadi, kepakaran dan ilmu dalam bidang itu saya suntik dalam dunia baharu yang saya cuba terokai kini. Saya sedar, ada banyak persaingan sebab ramai sahaja pengeluar minyak wangi yang menguasai pasaran tempatan.

“Bagi saya, mengapa tidak? Saya juga mendapat banyak sokongan daripada pelbagai agensi termasuk usahawan lain. Ini memberikan saya semangat untuk meneruskan cita-cita,”katanya.

Jelas Amirul, menerusi kempen keutamaan dan pembelian barangan lokal yang sedang rancak dilakukan oleh pengguna juga dilihat sebagai satu bonus buat usahawan tempatan sepertinya sekali gus diyakini mampu menjadikan rangkaian minyak wangi Ameer Safone sebagai pilihan ramai.

Malah, kata Amirul, menerusi pengenalan tiga rangkaian wangian ini, ia sejajar dengan hasratnya untuk mengangkat nilai produk jenama tempatan setanding dengan jenama terkemuka antarabangsa.

“Antara inspirasi saya adalah untuk membuktikan kepada semua bahawa produk tempatan juga mampu berada setanding dengan produk luar negara terutama dari sudut kualiti. Persaingan bagi saya adalah normal untuk mana-mana produk.

“Permintaan pasaran untuk minyak wangi berjenama mewah pun sentiasa sahaja ada. Tetapi saya yakin jenama tempatan seperti Ameer Safone ini juga mampu mendapat tempat di hati penggemar wangian kerana kita juga menjaga kualiti dan eksklusiviti.

“Tiga rangkaian wangian kita juga unik dengan notasi haruman berbeza yang mampu memikat jiwa sesuai dengan personaliti masing-masing. Kita juga menggunakan bahan semula jadi untuk membangkitkan haruman segar dan istimewa tiga wangian ini,”katanya.

Amirul berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Wangian Ameer Safone; ‘Celebrating Resilience, the New Beginning’ di Worq KL Sentral, di sini, baru-baru ini.

Majlis telah dirasmikan oleh mantan pengerusi kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak.

Turut hadir ialah Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping.

Sementara itu, jelas Amirul, rangkaian wangian Ameer Safone yang dijual pada harga RM270 (50ml) ini hanya boleh didapati menerusi platform atas talian iaitu di Instagram dan juga laman sesawang ameersafone.com

Selain itu, pada masa akan datang, pihaknya juga merancang untuk menghasilkan rangkaian produk lain di bawah jenama Ameer Safone bagi melengkapi gaya hidup pengguna dan peminat setia jenama ini kelak.

“Saya juga menyasarkan untuk menembusi pasaran Brunei, Singapura, Indonesia termasuk Dubai dalam tempoh lima tahun ini. Insya-Allah, akan ada produk-produk lain yang akan dikeluarkan dan dikembangkan di bawah jenama Ameer Safone selepas ini,”katanya.

Amirul Safuan

Ketidakupayaan bukan penghalang

Dalam pada itu, berkongsi mengenai motivasi diri dan sumber inspirasi, jelas Amirul, beliau tidak pernah menjadikan ketidakupayaan atau statusnya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan.

Sentiasa memastikan minda tersedia dalam posisi positiviti, Amirul yakin tiada yang mustahil dapat digapai seandainya seseorang individu itu memiliki semangat yang tinggi.

“Terlibat dalam satu kemalangan pada tahun 2020 kemudiannya menyebabkan kehidupan saya bertukar drastik. Daripada hidup normal, saya diuji terlantar di katil selama hampir dua tahun gara-gara insiden hitam tersebut.

“Bagaimanapun, saya tak fikir kalau kekurangan dari segi fizikal kini menjadi penghalang untuk saya berjaya. Sebagai Muslim, saya percaya Allah SWT jadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita akan automatik tahu bagaimana untuk teruskan hidup dalam mode survival.

“Segalanya bergantung pada diri sendiri. Saya fikir, saya masih masih muda dan ada banyak lagi benda, perkara atau pengalaman belum diraih. Kalau dulu saya kerja makan gaji dan berada di zon selesa, sekarang saya kena fikir macam mana nak terus hidup.

“Sebagai manusia biasa, saya juga masih ada komitmen dan bil yang perlu dibayar.Walaupun dapat pencen dari PERKESO, tetapi kita tak boleh bergantung harap pada bantuan zakat atau mana-mana organisasi sahaja,”katanya.

Berikutan itu, Amirul nekad untuk bangkit melawan takdir untuk berusaha mengejar kejayaan di sebalik kekurangan dirinya kini.

Tambah Amirul, semangat juga memuncak apabila melihat ramai kalangan OKU yang turut mampu mengukir kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Satu yang saya percaya, kita kena kreatif dalam kehidupan ini. Kalau kita ada ketidakupayaan sekali pun, sekarang ada banyak teknologi yang mampu membantu daya kreativiti kita. Saya gunakan segala kemudahan itu.

“Banyak orang kata, kalau masuk bidang keusahawanan ini banyak risikonya atau apa sahaja. Saya ada aset dan modal, kenapa tidak saya gunakan dengan sebaiknya? Pendek kata, semua perkara ada risiko dalam hidup ini.

“Namun, menariknya dalam dunia keusahawanan ini, andalah yang mengawal dan melakar perjalanan anda sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, Amirul juga tidak menolak bahawa kekuatan dan keberanian yang ada pada dirinya selama ini diwarisi daripada Allahyarham ibunya.

Katanya, sewaktu masih hidup, Allahyarham ibunya juga berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mewariskan ilmu pengetahuan  yang kemudiannya digunakan dengan sehabis baik olehnya kini.

Kongsi Amirul, sifatnya juga saling tidak tumpah seperti arwah ibu yang sentiasa positif meskipun arwah diuji dengan penyakit kanser tahap empat.

“Bagi saya, arwah ibu memang seorang pejuang. Meskipun dapat tahu dia ada panyakit kanser tahap empat, dia masih boleh tenang dan positif. Saya meminjam semangat ibu dan sudah tentu saya pun tak mahu mengalah.

“Semua nasihat, ilmu, segalanya tentang arwah ibu saya ingati. Karektor kami memang sama manakala ayah pula sentiasa menjadi penyokong utama.

“Sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone ini sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya