KUALA TERENGGANU : Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyokong penuh usaha pemerkasaan undang-undang syariah termasuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Pengerusi Amanah Terengganu, Mohd. Hasbie Muda berkata, langkah tersebut menunjukkan komitmen yang serius Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kedudukan undang-undang syariah lebih kukuh dalam sistem perundangan negara.
Menurutnya, ia juga dapat memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Islam berhubung undang-undang Syariah di Malaysia.
“Amanah Terengganu turut memuji komitmen dan kesungguhan semua pihak terutama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengendalikan libat urus melibatkan pelbagai pihak.
“Ini termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam proses pembentukan RUU ini.
“Semoga kolaborasi ini memberi hasil yang terbaik untuk keutuhan mahkamah syariah di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini berada di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Sesi libat urus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang JAKIM sudah pun berada di peringkat akhir dan laporannya akan disiapkan tidak lama lagi untuk diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mengulas lanjut, Mohd. Hasbie yang juga Ketua Pemuda Amanah berkata, pihaknya yakin bahawa pindaan pada RUU 355 itu akan membawa manfaat positif kepada masyarakat Islam di negara ini.
“Sudah pasti ia akan dapat menjamin keharmonian dan kesepaduan di kalangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
“Amanah bersedia untuk terus memberi sokongan kepada segala usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa undang-undang Syariah bagi kebaikan bersama,” katanya. – UTUSAN










