PETALING JAYA: “Bakat mungkin jatuh ke tangga kedua. Orang lihat populariti media sosial dulu.”
Itu luahan pelakon cantik, Shikin Kamal yang tertanya-tanya adakah bakat yang selama ini menjadi kayu pengukur seseorang anak seni sudah jatuh ke tangga kedua kerana populariti media sosial dipandang terlebih dahulu.
Jelas pelakon Heist-dilfitri itu, dia sangat meraikan kehadiran pendatang baharu dalam industri seni namun sikap terlalu mengejar populairiti ‘hilang’ keterujaan menimba ilmu itu harus dicantas terlebih dahulu.
“Kadang-kadang saya tertanya sendiri, mengapa sukar untuk segelintir pelakon lain menmepa nama. Terutama ketika ini, jumlah pengikut media sosial menjadi penanda aras. Macam saya yang kurang pengikut ini, susah.
“Pendatang baharu juga ramai, itu kita tidak boleh nafikan kewujudan. Cuma adakah semuanya betul-betul punya cinta terhadap dunia seni?
“Industri seni kita macam pasar ke sekarang? Asal ada pengikut ramai, ‘kayu’ pun tak apa. Bukan mahu mengata, tetapi itu realitinya. Warganet sekarang bukan sorok-sorok kalau mahu mengomen,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Shikin lagi, segelintir pemain industri seni juga memandang entang kredibiliti serta jenama seseorang pelakon senior sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menerima bayaran sedikit.
“Bukan sekali dua kita dengar, dunia Hollywood lebih menghargai bakat berbanding populariti. Namun itu tidak terjadi di sini. Hakikat itu perlu kita telan dan hadam. Populariti media sosial lebih penting.
“Saya fikir juga, mungkin boleh saya beli pengikut dan enggagement itu. Tetapi sampai bila saya mahu menipu diri sendiri? Sampai bila saya perlu ‘menyorok’ prinsip yang bakat itu lebih utama?” soalnya.-UTUSAN










