KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hariz Fahayet tidak sanggup memperjudikan nama baik dengan mencipta kontroversi hanya semata-mata untuk mengejar populariti.
Jelasnya, populariti yang diraih adalah satu bonus tetapi dia mahu menaikkan nama dengan bersandarkan kepada bakat dan kemampuan sendiri.
“Memang ada sahaja yang suruh saya buat kontroversi, publisiti murahan untuk popular. Sebab mungkin nama saya tak cukup ‘panas’ walaupun sudah ada lebih 10 single.
“Cuma apa pula perasaan mak saya kalau baca berita yang tidak elok tentang saya? Macam mana dengan nama baik yang saya pegang selama ini?
“Saya selalu berpegang kepada rezeki itu tiba tepat pada waktunya. Tak apa jika lambat, asalkan penerimaan peminat terhadap lagu itu semakin meningkat,” ujar Juara Bintang RTM 2018.
Dalam perkembangan lain, Hariz juga terbuka sekiranya diberi peluang menyertai pertandingan vokal yang dikhususkan kepada penyanyi baharu sepertinya.
“Saya terbuka sahaja. Contohnya seperti Big Stage. Setiap tahun saya tunggu cuma belum rezeki. Tak kisah pun kalau orang cakap saya artis pertandingan tetapi kalau sudah ada peluang, kenapa tidak kan?
“Saya memang menjaga kualiti. Jadi jika ada peluang, memang saya takkan sia-siakan,” ujarnya.










