ALOR SETAR: Golongan asnaf yang berhadapan masalah perkahwinan dan perceraian dinasihatkan untuk memohon bantuan melalui Skim Bantuan Guaman Asnaf yang dijayakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG).
Menurut Ketua Pengarah JBG, Datuk Norazmi Mohd. Narawi, sejak 2021 skim berkenaan berjaya menyelesaikan 64 kes di mahkamah syariah melibatkan perceraian seperti fasakh, taklik, hak penjagaan anak dan mutaah.
“Ada asnaf (wanita) digantung tak bertali untuk kes perceraian, bila diuruskan dengan zakat ia jadi jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka kerana bila menggunakan khidmat peguam memerlukan sumber kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman dan Pelancaran Program Skim Bantuan Guaman Asnaf antara JBG dan LZNK yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasinya, Dr. Mohd Faisal Mustafa.
Mengulas lanjut, kata Norazmi, LZNK memberi komitmen tinggi untuk menjayakan skim tersebut agar lebih ramai golongan asnaf menerima manfaat melalui tambahan dana dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan rekod, 43 kes asnaf yang kita sudah kendalikan menjadikan baki dana sebanyak RM15,000, namun dengan dana tambahan daripada LZNK kita akan giat mempromosikan skim ini.
“Golongan sasar kita adalah di bahagian selatan Kedah seperti Kulim, Sik dan Baling. Ini kerana kita tak mahu ada yang tercicir kerana tidak tahu kewujudan skim ini,” katanya.
Katanya, skim tersebut juga diperluaskan kepada golongan asnaf mualaf yang berdepan dengan kes di Mahkamah Syariah untuk memberi keadilan kepada mereka.
Dalam pada itu menurut Mohd Faisal, LZNK menyalurkan agihan zakat kepada Akaun Amanah Bantuan Guaman JBG sebanyak RM20,000 setahun bermula 2021.
“Dana itu untuk digunakan bagi membantu golongan terlibat yang tidak mampu membayar kos pengurusan kes dan sehingga 2024, LZNK menyalurkan sebanyak RM60,000 kepada JBG bagi tempoh tiga tahun itu,” katanya. -UTUSAN











