5,000 botol air zam zam bernilai RM1.3 juta cuba diseludup

5,000 botol air zam zam bernilai RM1.3 juta cuba diseludup

NOR Izah Abdul Latif (kanan) menunjukkan botol air zam zam yang cuba diseludup melalui negara jiran bernilai RM1.3 juta pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup air zam zam melalui negara jiran yang dipercayai untuk pasaran di negeri ini, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, sebanyak 5,000 botol air zam zam dengan isipadu lima liter setiap botol disorokkan bersama pelembut pakaian. 

Katanya, nilai rampasan air zam zam berkenaan yang tidak diikrar dengan anggaran keseluruhan 25,000 liter itu adalah berjumlah RM1.3 juta.

“Berdasarkan maklumat, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan dan Cawangan Import Eksport melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS), Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 11 malam, 13 Februari lalu.

“Lori tersebut dipandu seorang warganegara Thailand berusia 50-an bersama kelindannya berusia 20-an. Pemeriksaan mendapati terdapat barangan yang tidak diikrar iaitu air zam zam di dalam kontena tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini. 

Menurut beliau, modus operandi penyeludup adalah dengan menyorok kotak air zam zam berkenaan di bahagian belakang muatan kontena berupa pelembut pakaian yang diikrar bagi mengaburi mata penguatkuasa.

“Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

“Kita juga meragui ketulenan air zam zam ini memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam ke dalam pasaran. Air zam zam ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk mengelak daripada dikenakan duti dan cukai,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000.

“Kita nasihatkan orang ramai agar berhati-hati berkaitan jualan air zam zam. Ketulenannya diragui dan kita percaya aktiviti penyeludupan ini dilakukan sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi. Kastam juga mengenalpasti pengimport air zam zam iaitu sebuah syarikat makanan yang beroperasi di Jitra,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×