5 nelayan warga Myanmar termasuk tekong ditahan

5 nelayan warga Myanmar termasuk tekong ditahan

LIMA nelayan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di perairan Pulau Kendi semalam kerana mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan lima nelayan warga Myanmar termasuk tekong di kawasan perairan berhampiran Pulau Kendi, semalam kerana mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, kesemua warga asing itu ditahan di atas bot nelayan terbabit kira-kira pukul 10 malam.

”Ketika membuat rondaan, bot peronda Maritim Malaysia mendapati terdapat sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan dan kami telah meminta bot berkenaan berhenti untuk melakukan pemeriksaan rutin.

”Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati bot terbabit dikendalikan seorang tekong warga Myanmar dengan dibantu oleh empat orang kru yang juga warga Myanmar,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 47 tahun dan empat daripadanya gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang kru pula telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh. 

“Selain itu, pihak kami juga mendapati bahawa bot terbabit gagal mengemukakan surat kelulusan untuk menggunakan radio komunikasi,” katanya.

Tambahnya, kesemua kru warga Myanmar itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×