PETALING JAYA: 26 individu menjadi mangsa skim pelaburan ‘atas kertas’ atau tidak wujud yang ditawarkan oleh sebuah koperasi sehingga kerugian lebih RM2 juta.
Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam satu kenyataan berkata, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi itu adalah memberi pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki olehnya.
Menurutnya, koperasi tersebut turut menganjurkan 10 jenis skim pelaburan yang pelbagai untuk mengaburkan mata dan mengelirukan mangsa, disyaki ia merupakan satu skim jenayah penipuan pelaburan terancang.
“Konsep atau modus operandi yang dilakukan oleh koperasi itu adalah dimana mereka akan mencari pelanggan-pelanggan yang berminat untuk menjadi ahli koperasi dan juga berminat untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
“Kesemua pelaburan yang ditawarkan kepada pelabur disyaki hanya di atas kertas sahaja kerana pengadu mengatakan mereka tidak pernah melihat atau dikemukan rekod dan produk-produk pelaburan yang ditawarkan kepada para pelanggan.
“Anggaran kerugian yang dialami oleh para peserta dan/atau para pengadu adalah sebanyak lebih RM2 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, MHO berkata, kesemua pengadu tidak menerima bayaran dividen sepertimana yang dijanjikan oleh pihak syarikat dan ia dianggap sebagai satu perkara tidak adil apabila mangsa menggunakan wang-wang simpanan untuk skim pelaburan tersebut.
Tambahnya, pihak kerajaan perlu memantau sesebuah syarikat atau koperasi yang menjalankan aktiviti menarik pelabur untuk sesuatu skim pelaburan.
“Perlu ada satu mekanisme tertentu untuk mengawal aktiviti skim pelaburan anjuran mana-mana syarikat atau entiti.
“MHO mencadangkan agar satu agensi pemantauan skim pelaburan oleh syarikat tidak disenaraikan di bursa saham ditubuhkan bagi tujuan ini,” katanya. – UTUSAN










