PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang anak kapal warganegara Malaysia terlibat dalam insiden kapal dagang milik negara, Samudera Indah II yang tenggelam di perairan Pulau Con Dao, wilayah Ba Ria-Vung Tau (BRVT) Vietnam, semalam.
Pengesahan itu dibuat melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Vietnam dalam kenyataan oleh Wisma Putra hari ini.
Bagaimanapun, katanya, individu itu dilaporkan selamat dan diberi rawatan lanjut oleh pihak berkuasa Pulau Con Dao.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut dan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya. – UTUSAN