SAN DIEGO: Pelakon General Hospital, Tyler Christopher disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
Lapor TMZ, berdasarkan laporan bedah siasat, kematiannya berpunca daripada pengambilan alkohol berlebihan yang mengakibatkan kesukaran bernafas.
“Pelakon berkenaan mengalami kesukaran bernafas disebabkan kedudukan tubuhnya yang dipengaruhi pengambil alkohol berlebihan.
“Pada masa sama, beliau turut mengalami penyakit arteri koronari yang berpunca daripada penyempitan arteri akibat pembentukan plak,” dedah penganalisis perubatan Daerah San Diego menerusi laporan rasmi.
Christopher ditemukan tidak bernyawa di kediamannya dekat sini Oktober tahun lepas. Beliau berusia 50 tahun.
Kematiannya diklasifikasikan sebagai kemalangan jiwa.
Pelakon itu pernah berkahwin dengan bintang Desparate Housewives, Eva Longoria pada 2002 dan bercerai pada 2004.
Beliau pada 2008 mendirikan rumah tangga bersama wartawan ESPN, Brienne Pedigo namun bercerai pada 2021.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata, Greysun James dan Boheme Christopher.
Christopher juga pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik anugerah Emmy pada tahun 2016 menerusi drama General Hospital.