KUALA LUMPUR : Pertukaran kerajaan merupakan proses demokrasi yang memberi hak kepada ahli Dewan Rakyat untuk membuat sebarang keputusan, sekali gus ia bukan satu bentuk jenayah yang menyalahi undang-undang.
Menjelaskan perkara itu, penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, di bawah perkara 43 fasal 4 Perlembagaan Persekutuan membenarkan perkara ini berlaku berikutan ia adalah peralihan kerajaan, bukannya secara Coup d’état (kudeta) iaitu rampasan kuasa secara haram atau melalui paksaan.
“Perkara 43 Fasal 2(a) jelas menyebut bahawa Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, manakala Perkara 43 Fasal 4 menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat maka beliau hendaklah meletakkan jawatan.
“Ini proses demokrasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (No. 3) 2022 dan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti mampu kembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.
Langkah itu dikatakan bagi menjamin kestabilan politik setelah berlakunya beberapa siri episod lompat parti sehingga akhirnya kerajaan tersebut tumbang.
Bagaimanapun, keadaan itu masih berlaku namun dalam konteks yang berbeza di mana seramai lima ahli Parlimen pembangkang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun masih kekal pada parti yang sama.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamad Shafiq berkata, Akta Anti Lompat parti hanya menghalang pertukaran parti politik selepas seseorang dipilih ke Dewan Rakyat.
“Perkara ini sangat jelas apabila beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan mereka kepada Anwar dan tidak dikenakan sebarang tindakan lompat parti.
“Tafsiran ini juga diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melibatkan lima ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
“Di dalam Dewan Rakyat pada 9 November tahun lalu, Tan Sri Johari Abdul menyatakan bahawa peruntukan lompat parti tidak menyekat mana-mana orang (ahli Parlimen) untuk memberi sokongan dan mereka tidak perlu mengosongkan kerusi, mereka boleh sokong secara diam-diam atau secara terbuka,” ujarnya lagi. – UTUSAN