KANGAR: Kotor, tidak terurus, rumah uzur dan dibelenggu kemiskinan. Lebih 80 peratus penduduk daripada golongan nelayan di situ pula adalah asnaf. Itu gambaran suasana perkampungan nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis suatu ketika dahulu.
Perkampungan nelayan itu merangkumi tujuh buah kampung iaitu Kampung Tengah, Hujung Tanjung, Seberang Jaya, Tandiap, Seberang Alor, Baru Seberang dan Kampung Pulau Ketam dengan penduduk lebih 2,000 orang.
Difahamkan, perkampungan tersebut wujud sejak awal 1920-an yang mana pada waktu itu hanya terdapat enam laluan dengan penduduk menggunakan titi kayu yang menghubungkan antara rumah ke rumah.

Kini, daripada perkampungan nelayan biasa, Kampung Seberang Ramai berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi tarikan pelancongan utama di negeri ini yang menggamit kehadiran pelancong dari seluruh negara termasuk dari luar Malaysia.
Transformasi luar biasa itu bermula hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Baginda dan Puteri Sharifah Khatreena mahu melihat transformasi di perkampungan itu selain bertujuan menjadikannya sebagai contoh kepada masyarakat setempat dan ia menjadi realiti.
Lokasi Program Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai menyajikan pemandangan dan suasana memukau selain pelbagai tarikan baharu wujud di kawasan berkenaan.
Mengunjungi perkampungan berkenaan dapat menyaksikan keceriaan di setiap rumah penduduk yang berwarna-warni. Lorong-lorong kawasan tersebut pula dihias menarik dengan pelbagai hiasan.

Jambatan Tuanku Syed Putra pula tersergam indah di kawasan tersebut, sekali gus menjadikan perkampungan kecil itu sempurna sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan.
Jambatan ikonik sejak tahun 1961 itu menghubungkan penduduk dari dua buah kampung iaitu Kampung Seberang Tok Pi dan Seberang Ramai dengan pemandangan dari atas jambatan tersebut memukau.
Projek pengindahan bermula sejak 2019 itu dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerjasama Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, pelbagai agensi serta jabatan kerajaan serta masyarakat setempat.
Terdapat juga 20 stesen pembelajaran diwujudkan di kampung berkenaan hasil inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai dalam menjayakan pelaksanaan projek pembelajaran berasaskan komuniti tersebut.
Projek yang mendapat kerjasama beberapa pihak seperti Jabatan Pendidikan negeri, MAIPs dan komuniti setempat itu mendapat pengiktirafan apabila SK Seberang Ramai disenaraikan antara lima sekolah terbaik di Malaysia untuk bertanding dalam anugerah World’s Best Schools anjuran T4 Education.
Perubahan tersebut juga menyaksikan penduduk di situ mula menitikberatkan soal menjaga kebersihan bagi mengekalkan keindahan kampung selain menjadi lubuk rezeki kepada penduduk setempat.
SEBELUM INI KOTOR, TIDAK TERURUS
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengah, Asri Jab, 50, berkata, sebelum ini, kawasan perkampungan tersebut dipenuhi dengan sampah-sarap dan berada dalam keadaan tidak terurus.
Katanya, apabila air pasang, sampah-sarap dibawa ke kawasan kampung itu yang membuatkan keadaannya sering menjadi kotor.
“Selepas melalui proses transformasi, pelbagai penambahbaikan dilakukan hasil bantuan MAIPs dan banyak pihak lain dalam mengindahkan kawasan perkampungan ini. Semasa awal proses transformasi ini, inisiatif berkenaan hanya melibatkan sebuah lorong yang membabitkan 25 buah rumah.
“Kini, sebanyak 200 hingga 300 buah rumah penduduk di 14 lorong membabitkan tujuh buah kampung menjalani proses transformasi bagi mengubah landskap daripada sebuah penempatan nelayan kepada destinasi pelancongan popular di Perlis,” katanya.

Kata Asri, hampir 80 peratus penduduk di perkampungan berkenaan sebelum ini adalah golongan asnaf dan rumah mereka kebanyakannya dalam keadaan uzur.
Menerusi transformasi itu, katanya, rumah-rumah penduduk diperindah dan dicat semula bagi membangkitkan suasana ceria.
“Terdapat dua fokus utama menerusi projek transformasi ini iaitu membabitkan aspek kebersihan dan peluang menjana pendapatan buat komuniti,” katanya.
Katanya, antara cabaran terbesar melakukan transformasi adalah mengubah mentaliti masyarakat dan penduduk setempat.
Menurut Asri, penduduk perlu diberi pendedahan dan pendidikan terlebih dahulu tentang transformasi yang dilakukan di perkampungan berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif dikehendaki.
“Kita cuba memberi penekanan kepada masyarakat setempat tentang kepentingan aspek kebersihan dan pengurusan sampah agar perkampungan ini dapat diubah lanskapnya kepada suasana baharu.
“Selain itu, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai menerima beberapa pengiktirafan sebelum ini dan ia adalah kebanggaan kepada penduduk di apabila kampung mula mendapat perhatian,” katanya.
30 HINGGA 40 PERATUS PENDUDUK KELUAR KEMISKINAN
Di samping itu, Asri berkata, komuniti di perkampungan berkenaan mengambil inisiatif menubuhkan koperasi bermula tahun lalu dalam membantu mengembangkan lagi pasaran produk-produk tempatan yang dihasilkan penduduk setempat.
Katanya, antara produk yang dihasilkan oleh komuniti di sini adalah ikan masin, kuih tradisional, pes laksa, putu mayam kuah laksa dan sotong pulut.
Ujarnya, sejak pelaksanaan projek transformasi itu, hampir 30 sehingga 40 peratus penduduk di kawasan tersebut berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan mampu mengusahakan perniagaan sendiri.
“Sebagai contoh, sepanjang dua minggu cuti persekolahan baru-baru ini, jumlah keuntungan semua peniaga ini adalah sangat memberangsangkan malah pada hari minggu sahaja mereka mampu menjana antara RM3,000 hingga RM4,000.
“Penduduk mula menjana pendapatan dari segi perniagaan, produk-produk di sini dan perkhidmatan seperti choley, basikal, buggy dan motosikal yang membawa pengunjung mengelilingi perkampungan.
“Program transformasi kampung nelayan ini banyak membantu penduduk keluar daripada asnaf. Alhamdulilah, MAIPs banyak membantu ke arah perubahan tersebut sama dari segi keindahan kampung dan merubah kehidupan,” katanya.
BAWA PERUBAHAN, UBAH MENTALITI
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, pelaksanaan program berkenaan membawa perubahan besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.
Katanya, perubahan itu antaranya dari segi kebersihan dan pengindahan fizikal kampung, peningkatan taraf kemudahan serta prasarana selain menjadi produk pelancongan.
“Ia turut membuka peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong. Ini termasuk mengekalkan dan memulihara warisan serta budaya setempat, pelaksanaan program akademik kepada anak-anak penduduk, latihan kemahiran dan peningkatan kompetensi serta peningkatan keselamatan setempat dan komuniti.
“Pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai ini berjaya mengangkat kawasan kampung tradisi nelayan kepada sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
“Pelbagai inisiatif dilaksanan mula menampakkan hasil positif kepada persekitaran serta penduduk di kawasan kampung ini,” katanya.
TUMPUAN PELANCONG SELURUH NEGARA
Dalam pada itu, perkampungan tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung dalam Malaysia malah pelancong luar negara yang datang untuk melihat sendiri keunikan ditampilkan masyarakat setempat.
Malah pada cuti persekolahan atau hujung minggu mampu menarik lebih 10,000 pengunjung sekali gus memberi sumber rezeki kepada penduduk setempat.

Sebagai contoh, sepanjang dua minggu cuti persekolahan baru-baru ini, pengusaha choley yang membawa pelancong melawat kawasan sekitar Kampung Warna-Warni Kampung Seberang Ramai mampu menjana pendapatan mencecah RM20,000.
Pengusaha choley, Nur Afiq Nasharudin, 27, berkata, pada cuti persekolahan khususnya semasa perayaan Krismas baru-baru ini, jumlah pelancong yang datang ke sini adalah sangat luar biasa dan mereka turut memilih perkhidmatan choley untuk bersiar-siar.
“Sebelum ini, saya mampu menjalankan sebanyak 40 trip perjalanan sehari namun jumlah itu bertambah pada cuti persekolahan kali ini. Sepanjang dua minggu ini, saya mampu menjalankan sebanyak 60 ke 80 trip perjalanan sehari bagi membawa pelancong bersiar-siar di kampung ini dengan pendapatan sehingga RM20,000,” katanya.
Seorang pengunjung, Zulhelmi Mustafa,28, pula berkata, dia membawa ahli keluarganya dari Kulim, Kedah untuk melawat kampung nelayan warna-warni ini yang sering kali tular dalam media-media sosial.
“Perkampungan nelayan ini sungguh indah dengan rumah berwarna-warni dan lorong-lorong dihias cantik. Saya tidak dapat membayangkan dahulu orang kata perkampungan ini biasa dan kotor, kini suasana cukup indah,” katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Razif Ismail,38, berkata, setiap kali ke Perlis, dia dan keluarga pasti meluangkan masa singgah di perkampungan nelayan warna-warni tersebut.
Katanya, suasana di perkampungan nelayan tersebut cukup unik dengan rumah penduduk berwarna-warni selain terdapat banyak laman-laman yang diwujudkan dengan sangat menarik dan kreatif.
“Kalau dilihat, kampung ini juga mempunyai sejarah-sejarahnya yang tersendiri selain ada rumah-rumah yang menyajikan produk-produk menarik seperti dodol dan pelbagai kuih tradisional lain.
“Tidak keterlaluan dikatakan perkampungan nelayan di Seberang Ramai di Kuala Perlis ini merupakan antara perkampungan nelayan yang paling cantik di Malaysia,” katanya. – UTUSAN











