TAIPING: Polis menahah tiga lelaki yang sedang mencuri kabel komunikasi Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian di Padang Gajah, Trong dekat sini , kelmarin.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berumur 26 hingga 27 tahun dan polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk mencuri seperti kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru.
Menurutnya, modus operandi kumpulan ialah menyasarkan kabel komunikasi bawah tanah TM.
“Mereka memotong kabel dalam tanah dan menariknya dengan menggunakan kenderaan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas gulungan kabel yang dicuri dengan anggaran nilai RM20,000 dan kenderaan yang digunakan turut dirampas.
“Ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 431A dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun suspek kes samun di stesen minyak dan ragut di sekitar Taiping kelmarin.
Menurutnya, suspek menyasarkan wanita berusia 40-an hingga 60-an sebagai mangsanya untuk meragut.
“Pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan sebilah pisau, sebilah kerambit, dua telefon bimbit, topi keledar dan sebuah motosikal.
“Hasil semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau empat kes dan enam rekod penyalah gunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes membabitkan tiga kes samun di stesen minyak dan empat kes ragut yang berlaku di sekitar Taiping, Simpang dan Pokok Assam dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Tiga suspek curi kabel dan seorang suspek kes samun dan ragut ditahan reman enam hari bermula dari 19 hingga 24 Januari ini,” katanya. – UTUSAN










