Tidak lindungi pegawai, anggota polis terlibat jenayah

Tidak lindungi pegawai, anggota polis terlibat jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pegawai dan anggota polis diingatkan bahawa mereka tidak akan dilindungi jika terlibat dengan kesalahan jenayah.

Penegasan itu dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang menasihatkan supaya  pegawai dan anggota bawahannya mengambil iktibar daripada kes yang berlaku berhubung perkara itu.

Tegas beliau, setiap kesalahan akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan. 

“Perkara seperti ini, tidak seharusnya berlaku. Di mana letaknya pemikiran kita sebagai penguat kuasa undang-undang yang menyalahgunakan kuasa.

“Saya ingatkan kepada semua, khususnya warga kerja Polis Selangor supaya tidak lupa tentang 5M yang menjadi punca kuasa sebagai pegawai dan anggota polis iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes dua anggota yang disiasat bagi kes samun dan rogol, baru-baru ini. 

Mengulas lanjut, beliau mengakui bahawa masalah integriti boleh merosakkan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM. 

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab sebagai warga PDRM untuk mengatasi isu-isu ini dan memulihkan keyakinan masyarakat.

“Kita semua harus berpegang kepada dua fokus utama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam usaha untuk memastikan pasukan berada di atas landasan yang betul serta sentiasa dijadikan sebagai punca kuasa iaitu perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Justeru, harapan beliau agar tahun ini perlu lebih baik dengan membawa harapan, semangat dan tekad baharu. 

“Kedudukan pasukan harus kekal efisien bahkan harus sentiasa segar dan disegani oleh masyarakat. 

“Sokongan padu daripada setiap lapisan warga Kontinjen Selangor untuk mencorakkan satu budaya kerja yang sinonim dengan tema Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada amat diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN