Tiada lagi kelibat Pak Yob dan basikal berhias di Manjung - Utusan Malaysia

Tiada lagi kelibat Pak Yob dan basikal berhias di Manjung

ROSIATON Mohd Alias menunjukkan basikal berhias Pak Yob yang amat dikenali penduduk Manjung ketika ditemui di Fasa 1A, Seri Manjung hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tiada lagi kelibat Pak Yob menunggang basikal berhias mengelilingi daerah Manjung apabila warga emas berusia 78 tahun yang dianggap ikon masyarakat Manjung, menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin.

Pak Yob atau nama sebenarnya, Berhanudin Mohd Alias, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin di rumahnya di Fasa 1A, Seri Manjung, dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sitiawan, pagi semalam.

Sebelum ini, Pak Yob, anak sulung daripada 10 adik beradik, amat dikenali penduduk daerah Manjung kerana keunikannya menunggang basikal berhias setiap hari dan sering membunyikan hon setiap kali disapa di samping sifat ramahnya dengan semua orang.

Setiap kali sambutan bulan kemerdekaan, basikalnya akan penuh dihiasi Jalur Gemilang dan bendera Perak dengan keunikannya itu pernah dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Malah, selain mengayuh basikalnya dengan memakai topi keledar setiap hari terutama bagi mengunjungi pusara ibu bapanya, Pak Yob pernah mengayuh basikal sehingga ke Ipoh sejauh kira-kira 82 kilometer selain pergi ke Teluk Intan, Bagan Datuk dan Seri Iskandar.

Adik Pak Yob, Rosiaton, 71, memberitahu arwah yang tidak pernah berkahwin mulai uzur sejak kira-kira tiga tahun lalu apabila kakinya membengkak, mengalami masalah ‘angin pasang’ serta denyutan jantung tidak stabil.

“Sejak itu, kami adik beradik terutama kakak kami, Khuzaimah, 76, melarangnya mengayuh basikal dalam jarak jauh, hanya membawa basikalnya sekitar Seri Manjung sahaja,” katanya ketika ditemui di Fasa 1A, Seri Manjung, hari ini.

Turut hadir ialah tiga adik arwah yang lain iaitu Noor Khamisah, 64; Jamilah, 60; dan Nazariah, 54.

Menurut mereka, arwah tinggal bersama kakak mereka, Khuzaimah, 76, di Fasa 1A sejak berpuluh tahun lalu dan hubungan mereka begitu erat seperti ‘isi dan kuku’ menjadikannya paling sedih apabila Pak Yob tiada.

Nazariah pula berkata, sebaik berita kematian Pak Yob diketahui, keluarga mereka menerima banyak ucapan takziah daripada pelbagai pihak di Manjung.

“Malah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam Facebook rasminya menyatakan arwah sebagai ikon masyarakat Manjung yang banyak memberi sumbangan dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN