SPRM sudah dapat kebenaran dakwa Daim - Azam Baki

SPRM sudah dapat kebenaran dakwa Daim – Azam Baki

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sepatutnya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana suruhanjaya itu sudah mendapat kebenaran berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun pertuduhan belum dapat dilakukan kerana DAIM dimasukkan ke hospital.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah memberi kebenaran untuk mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.

Katanya, pegawai penyiasat telah berhubung dengan peguam Daim namun pihaknya dimaklumkan bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan hospital atas alasan tidak dinyatakan. 

“SPRM sedang menyiapkan pertuduhan namun telah dimasukkan hospital malah tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.

“Oleh itu, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan. Buat masa ini, kita akan melihat keadaan namun  tetap akan menuduhnya,” katanya di sini hari ini. 

AZAM BAKI

Azam bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat pertuduhan terhadap Daim. 

Media semalam melaporkan isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora yang sudah dimulakan sejak Februari lalu.

SPRM berkata, satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

“Tun Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

“Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN