PETALING JAYA: Keterangan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan Kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.
Mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan ahli perniagaan berusia 70-an itu diambil Selasa lalu di Putrajaya.
Kata beliau, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan akan dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.
“Tiada pembekuan dibuat setakat ini. Tindakan semakan dan analisis kepada beratus-ratus akaun milik individu dan syarikat yang terlibat,” katanya di sini.
Azam berkata, keterangan 25 saksi telah diambil sepanjang tempoh siasatan itu dilakukan.
“Keterangan ini melibatkan 15 saksi daripada agensi kerajaan terlibat dan 10 lagi individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan fleet kenderaan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia semalam mendedahkan, SPRM akan menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah bagi mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan.
Siasatan SPRM ketika ini menumpukan bagaimana pemberian perolehan kontrak kerajaan itu kepada syarikat yang disiasat.
Perolehan berkenaan dikatakan telah diberikan kepada syarikat berkenaan sejak 2000.
Justeru, SPRM akan melihat semula kontrak-kontrak yang diberikan daripada tahun berkenaan bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan berkenaan.
Pada 19 Januari lalu, Utusan Malaysi mendedahkan, kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu SPRM bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang telah dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu merupakan entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Kehadiran pegawai SPRM di semua lokasi termasuk kediaman milik Tan Sri berkenaan adalah bagi memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Dokumen itu diambil SPRM bagi penelitian lanjut bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan kontrak kerajaan.
Lapor Utusan Malaysia, Tan Sri berkenaan merupakan pemegang saham individu tertinggi di dalam syarikat pembekal kenderaan kerajaan itu.
Susulan siasatan dilakukan SPRM, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut namun tiada pembekuan akaun dibuat.
Utusan Malaysia difahamkan, tindakan yang diambil SPRM ini adalah kesinambungan kepada siasatan yang dilakukan suruhanjaya ini sejak Julai tahun lalu lagi.
Siasatan dilakukan bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Pada Julai tahun lalu, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi. – UTUSAN










