ALOR SETAR: Kawal selia sistem pengairan yang lebih efektif diyakini dapat membantu hasrat kerajaan untuk memulih dan membangunkan kawasan sawah padi jerlus agar tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara dapat ditingkatkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, masalah sawah padi jerlus bukan sahaja menjejaskan pengeluaran padi bahkan menambah kos pesawah untuk mengatasi masalah itu.
Katanya, tanah sawah jerlus bukan sahaja disebabkan faktor cuaca tetapi bekalan air atau saliran untuk penanaman padi yang tidak diuruskan dengan baik turut menyumbang kepada masalah itu.
“Contohnya usia pokok padi yang sudah menjangkau 60 ke 70 hari selepas ditanam perlu dikurangkan air dalam petak sawah tetapi jika air masih separas batas sawah pada usia itu maka ia akan memberi kesan selanjutnya.
“Ini kerana proses membajak ketika tanah sawah padi kering adalah lebih baik untuk mengelak masalah tanah jerlus berbanding jika bendang yang masih berair,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas langkah itu yang merupakan antara 12 inisiatif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Gelombang Padi bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada serta hala tuju baharu industri padi dan beras negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, antara inisiatif dalam Gelombang Padi adalah memperkenalkan Dasar Baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memperkasa pembekalan input pertanian dan memperkukuh pengurusan air ke kawasan tanaman padi.
Di Kedah, terdapat 1,662.38 hektar tanah jerlus di Kawasan Muda meliputi keluasan mengalami kerosakan tanaman padi sebanyak 788.75 hektar dan kawasan berisiko jerlus seluas 873.63 hektar sehingga 31 Januari 2023.
Mengulas lanjut, Che Ani berkata, kerajaan juga perlu melihat kembali bantuan kapur yang merupakan input digunakan untuk membaiki tanah jerlus seperti terkandung dalam Skim Insentif Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBM) sebelum ini.
“Saya tidak pasti sama ada bantuan itu masih diteruskan sehingga kini kerana tanpa insentif berkenaan sudah tentu akan menambah beban pesawah untuk membeli kapur yang kini harganya sudah mencecah puluhan ringgit sekampit,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah yang lebih cepat untuk mengatasi masalah sawah jerlus kerana proses biasa kini mengambil masa sehingga dua bulan.
“Mungkin ada teknologi berkaitan yang boleh diteroka oleh pihak terlibat walaupun tempoh dua bulan untuk pemulihan sawah padi jerlus itu tidak memberi kesan kepada pesawah,” katanya. – UTUSAN









