KUALA LUMPUR: Pelakon, Dynas Mokhtar memohon agar netizen mendoakan wangnya dikembalikan selepas dia menjadi mangsa rompakan dalam talian yang dipercayai didalangi sindiket penipuan luar negara.
Dynas, atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokthar, 40, yang mendedahkan perkara itu di Instagram memaklumkan telah membuat laporan polis dan berharap kesemua wangnya yang lesap dapat dikembalikan.
“Apa yang berlaku beberapa hari lepas, saya habis penggambaran, pulang ke rumah dan merancang untuk membayar gaji pembantu peribadi saya. Waktu itu baru saya sedar hampir semua duit saya telah lesap.
“Saya tidak memiliki kad kredit, hanya menggunakan kad debit. Saya ingat selamat sebab kita tak berhutang. Tetapi selepas membuat semakan kenyataan, saya dapati berlaku transaksi (dalam akaun) melibatkan mata wang pelik seperti dolar Hong Kong dan sebagainya.
“Saya tak dapat kongsikan semua kerana perkara ini masih dalam siasatan. Laporan polis juga telah saya buat. Doakan saya dapat semula wang saya, Insya-Allah,” kongsinya di Instagram.
Dalam pada itu, pelakon filem Badang itu turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati supaya tidak mengalami perkara yang sama.
“Saya harap orang lain tak alami perkara ini. Ia tidak melibatkan apa-apa pautan, hanya nombor kad debit yang sebenarnya harus dilindungi. Perlu berhati-hati.
“Jangan letak terlalu banyak wang dalam akaun (bank) yang ada kad (debit). Letak di tempat yang lebih selamat. Ini membabitkan semua wang simpanan anda lesap.
“Saya tak tahu bagaimana untuk jelaskan perkara ini. Cuma saya harap anda semua berhati-hati. Saya pun tak tahu apa yang selamat sekarang ini. Kita menuju ke zaman tanpa tunai, semua secara dalam talian. Adakah ia selamat? Tolong doakan saya,” kongsinya lagi.