PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 20 Februari ini untuk pendengaran permohonan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keabsahan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah tersebut.
Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) memfailkan permohonan tersebut pada 19 Disember lalu melalui firma guaman, Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.
Bagi kes-kes sivil, kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
NGO itu memfailkan permohonan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 23 November 2023 yang memutuskan sekolah vernakular di negara ini boleh terus beroperasi manakala penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan, sah di sisi undang-undang.
Dalam penghakiman kes itu, mahkamah berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang lain daripada bahasa Melayu, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengantara tidak seharusnya dihalang kerana penggunaannya dianggap bukan untuk urusan rasmi seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.
Pada prosiding di Mahkamah Rayuan, penghakiman dibuat ekoran rayuan yang difailkan oleh Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya.
NGO itu merayu agar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan.
Mappim dan Gapena pula merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut. – UTUSAN










