SEGiM pasti ditubuh, bela nasib pekerja ekonomi gig

SEGiM pasti ditubuh, bela nasib pekerja ekonomi gig

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama tetamu yang menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan memberi jaminan akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi membela nasib pekerja dalam industri p-hailing dan e-hailing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menyatakan komitmennya berhubung perkara tersebut semasa pertemuannya dengan penggiat industri berkenaan tahun lalu.

“Malah, Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Negeri (PRN) Selangor pada tahun lalu turut berjumpa dengan pekerja p-hailing di negeri itu.

“Pada hemat saya, memang SEGiM ini mesti dilakukan disebabkan 1.12 juta rakyat Malaysia terlibat dalam industri gig,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Sekretariat Forum GiG Ekonomi Malaysia sedia menjadi orang tengah menyelesaikan isu yang dihadapi penggiat industri gig sehingga kerajaan menubuhkan SEGiM.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, badan kawal selia tersebut harus diwujudkan bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan pekerja industri p-hailing dan e-hailing.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memastikan SEGiM direalisasikan dengan persetujuan semua Jemaah Menteri.

“Sebelum ini pun, pernah bawa cadangan ini dan saya akan realisasikan dengan persetujuan Jemaah Kabinet.

“Apapun, pekerja gig  harus mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana pihak majikan mereka bertanggungjawab melakukan caruman tersebut selain caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN