‘Saya tidak sakit’- Fathia Latiff terkilan keluarga terima tempias - Utusan Malaysia

‘Saya tidak sakit’- Fathia Latiff terkilan keluarga terima tempias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Fathia Latiff, berang apabila masyarakat melabelnya sebagai perempuan yang ‘sakit’ susulan beberapa hantaran di media sosialnya yang mengundang kontroversi kebelakangan ini.

Menerusi perkongsian di Instastory, Fathia atau Nur Fathia Abdul Latiff, 37, meskipun tuduhan itu tidak memberi kesan kepada dirinya namun pelakon itu terkilan kerana netizen membabitkan keluarganya dalam kontroversi berkenaan.

“Kepada peminat, keluarga, penghendap dan golongan homofobia, saya sudah penat dipanggil ‘orang sakit’ kerana saya tidak sakit. Saya boleh saja ambil tindakan kepada mereka yang menuduh sedemikian tapi saya tidak mahu kerana ada banyak lagi perkara lain untuk saya lakukan.

“Lagi pula, tuduhan itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap saya. Cuma apa yang mustahak sekarang, keluarga saya juga terkena tempiasnya.

“Ini adalah hidup saya, saya ada pilihan untuk lakukan apa yang saya mahu. Kalau jahat sekalipun, tidak ada kena mengena dengan awak,” tulisnya.

Jelas pelakon drama Ariana Rose itu lagi, setiap apa yang dimuat naik di media sosial adalah pilihan dirinya. Justeri Fathia meminta masyarakat agar berhenti mencari salahnya.

“Tak kisahlah kalau saya ini selebriti, pengemis atau jutawan sekalipun. Saya tidak bertanggungjawab untuk memberi penjelasan, mengemukakan bukti atau memberitahu sesiapa tentang setiap perkara yang ingin dimuat naik dalam media sosial.

“Terlalu ramai individu berfikiran negatif yang melemparkan fitnah terhadap diri saya. Berhenti menyalahkan orang dan lihat diri sendiri serta keluarga anda dahulu.

“Saya boleh sahaja menulis lebih banyak, tapi saya tak mahu buang masa. Cukuplah,” tambahnya lagi.

Fathia menyifatkan sikap masyarakat Melayu sebagai memalukan apa lagi pengikut media sosialnya datang daripada pelbagai negara.

“Orang Melayu ini suka dengki, fikir bukan-bukan dan rasa diri sentiasa betul. Itu yang ayah saya selalu cakap.

“Perkara itu sangat menyedihkan dan memalukan, tambahan pula saya mempunyai pengikut dari seluruh dunia termasuk Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada. Semoga Tuhan melindungi kita semua,” jelasnya.

Fathia mula mencuri tumpuan apabila menyamakan wajah Zahirah Mcwilson seperti bibik (pembantu rumah) minggu lalu.

Kontroversi semakin meledak apabila pelakon itu juga memuat naik gambarnya bersama bekas kekasih, Aiman Hakim selain menyindir rakan selebriti Zarina Anjoulie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN