Rumah sewa jadi makmal ubat batuk haram - Utusan Malaysia

Rumah sewa jadi makmal ubat batuk haram

ISMAIL HASHIM (dua dari kanan) menunjukkan mesin pemprosesan ubat batuk yang dirampas dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Kuala Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan rumah sewa sebagai makmal haram menghasilkan ubat batuk  di Sungai Padang, Simpang Empat di sini pada 15 Januari lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang oleh sepasukan anggota dari cawangan penguatkuasaan/Marin dan cawangan siasatan khas JKDM Perlis telah merampas 1,000 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam tong yang belum dibotolkan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM271,000.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pihaknya menyerbu rumah tersebut selepas mendapat maklumat daripada sumber yang mengesyaki terdapat aktiviti menghasilkan dadah selepas menghidu bau bahan kimia.

“Ketika serbuan, pintu rumah itu diketuk berkali-kali namun tidak berbalas. Kita percaya terdapat individu di dalam rumah tersebut berdasarkan bunyi pendingin udara dan mesin.

“Selepas 30 minit, kita memecah masuk rumah dan berjaya menahan dua lelaki masing-masing warga tempatan serta Thailand berusia 28 dan 54 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Kuala Perlis di sini hari ini.

Tambah Ismail, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kotak mengandungi botol-botol disyaki ubat batuk dengan kuantiti 100 mililiter setiap satu sebanyak 8,100 unit.

“Kastam juga merampas 1,000 liter cecair disyaki ubat batuk dalam tong yang belum dibotolkan dengan jumlah keseluruhan ubat batuk itu bernilai RM271,000.

“Pihak kastam juga merampas mesin dan alatan pemprosesan, bahan pembungkusan serta bahan-bahan mentah lain untuk menghasilkan ubat batuk selain sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih menjadikan keseluruhan barang kes disita bernilai RM371,463.70.

“Siasatan awal mendapati modus operandi digunakan adalah menjalankan pemprosesan ubat batuk di dalam premis kediaman terpencil di tepi sawah dengan jarak kira-kira 200 meter dari jalan utama bagi mengaburi pihak agensi penguatkuasaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sindiket tersebut menjual ubat batuk dihasilkan dengan menggunakan label palsu seperti ubat batuk sedia ada di pasaran dengan harga RM5 sebotol.

“Mereka mempunyai pembeli di pasaran domestik selain disyaki menyeludup keluar ubat batuk ini ke pasaran Thailand selepas beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.

“Kita juga percaya ubat batuk ini akan digunakan untuk dicampur dengan air ketum dan air berkarbonat bagi menghasilkan minuman ‘cakoroi’ yang menghasilkan kesan khayal yang lebih kuat’,” katanya.

Kata Ismail, bahan-bahan campuran di dalam ubat batuk haram itu juga dipercayai menghasilkan unsur ‘diphenhydramine’ di bawah Jadual Pertama Senarai Racun.

Kedua-dua suspek diberi jaminan kastam dan kes disiasat dibawah Seksyen 9(2) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya