'Rider’ kerja tanpa cuti cari rezeki

‘Rider’ kerja tanpa cuti cari rezeki

HASMAWIE Abdullah (kiri) dan Khairul Rijal Osman semasa menunggu pesanan dari sebuah kedai makan untuk dihantar kepada pelanggan di Kangar, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Walaupun berstatus golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah bisu dan pekak, ia tidak mematahkan semangat Hasmawie Abdullah, 45, untuk mengerah kudrat dengan berusaha gigih mencari rezeki menyara keluarganya.

Malah seawal pukul 7 pagi, Hasmawie sudah keluar rumah dengan motosikalnya sebagai penunggang p-hailing bagi mencari rezeki sehingga tengah malam dengan pendapatan dianggarkan sekitar RM80 sehari.

Namun, selepas berdepan isu pengurangan upah bayaran oleh sebuah syarikat penyelia Grab daripada RM4 bagi perjalanan dua kilometer pertama kepada RM3.50 bagi jarak sama, pendapatan bapa kepada tiga anak tersebut terus merosot.

Memberitahu Utusan Malaysia melalui tulisan di sebuah buku, Hasmawie berharap upah bayaran berkenaan kembali dinaikkan memandangkan para penunggang p-hailing terkesan dengan penurunan tersebut.

“Saya sudah dua tahun menjadi ‘rider’ dan perlu sentiasa berusaha gigih dalam mencari rezeki bagi menyara kehidupan dan pembelajaran anak yang masih bersekolah manakala seorang lagi melanjutkan pelajaran di universiti. Anak ketiga pula masih kecil berusia dua tahun.

“Isteri yang juga mengalami masalah pekak dan bisu bekerja sebagai pembantu tukang masak di kantin sebuah sekolah. Kenalah menghantar makanan dari pagi sehingga tengah malam bagi mencari lebih pendapatan.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, penurunan upah bayaran tersebut sangat memberi kesan dengan anggaran pendapatan RM80 sehari turun kepada RM60. Saya bekerja setiap hari tanpa cuti bagi mencari rezeki,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sena di sini.

Tiga anak Hasmawie yang semuanya normal masing-masing berusia 20, 16 serta dua tahun dan meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan, anak sulungnya berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading di salah sebuah universiti di negeri ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 100,000 penunggang p-hailing di seluruh negara terkesan teruk berikutan isu pengurangan upah bayaran oleh sebuah syarikat penyelia Grab sekali gus menyebabkan pendapatan menyusut sehingga 30 peratus.

Upah bayaran sebelum ini RM4 bagi perjalanan dua kilometer pertama dan dengan pelaksanaan tersebut upah berkenaan turun kepada RM3.50 bagi jarak sama.

Sementara itu, seorang lagi penunggang p-hailing, Khairul Rijal Osman yang merupakan pesara tentera berusia 51 tahun berkata, dia sudah dua tahun menceburi bidang itu dengan anggaran pendapatan RM60 sehari.

Bagaimanapun, katanya, pendapatan semakin berkurangan selepas pengurangan upah bayaran sehingga menyebabkan dia perlu menambah jumlah jam bekerja hingga malam.

“Sememangnya menjadi ‘rider’ penghantar makanan ini kadangkala perlu berdepan risiko di jalan raya namun semua penunggang ini terus berusaha dalam mencari rezeki. Selagi ada kudrat, saya akan terus melakukan pekerjaan ini bagi mencari pendapatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×