PETALING JAYA: Kenyataan dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoal kesetiaan masyarakat India dan Cina di negara ini tidak dipersetujui Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, ia diputuskan setelah isu terbabit dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi.
“Gerakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, menegaskan yang kita tidak boleh terima, tidak puas hati dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan Tun M,” katanya hari ini.
Menerusi satu temubual eksklusif dengan Tv Satelit India, Thanti TV sebelum ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, beliau berpendapat kaum India dan Cina di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih dikaitkan dengan identiti diri mereka dengan negara asal masing-masing.
Kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir mendapat kritikan daripada beberapa pemimpin politik.
Dalam pada itu, Dominic berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau dan disifatkan tidak sesuai.
Katanya, PN hanya mendapatkan nasihat daripada Tun Mahathir untuk kebaikan di empat negeri yang diterajui PN kerana pengalaman yang ada pada beliau. – UTUSAN