Perubahan iklim burukkan banjir?

Perubahan iklim burukkan banjir?

TOK SIAK Masjid Jamek Mukim Temai, Abdullah Hassan, 57, memantau keadaan masjid yang ditengelami air di daerah Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini berkemungkinan besar dipengaruhi oleh perubahan iklim antropogenik dan pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan gas-gas rumah hijau di atmosfera.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Klimatologi, Prof Dr. Fredolin Tangang berkata, suhu dunia sudah meningkat melepasi 1.10 darjah Celsius berbanding suhu ketika zaman pra perindustrian di Eropah.

Menurut beliau, secara purata setiap peningkatan satu darjah Celsius suhu dunia akan meningkatkan tujuh peratus kandungan wap air di atmosfera dan hujan ekstrem.

“Bagaimanapun di kawasan khatulistiwa terutama di kawasan Asia Tenggara yang merupakan kawasan penumpuan kelembapan, kadar peningkatan kandungan wap air di atmosfera meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding purata global.

“Peningkatan kelembapan sebegini akan meningkatkan hujan ekstrem semasa musim tengkujuh.

“Namun, tahun ini, kita juga dipengaruhi oleh El Nino dan semasa fenomena ini kebiasaannya berlaku pencapahan kelembapan dari kawasan di rantau ini ke tengah Lautan Pasifik dan ini mungkin mengurangkan impak perubahan iklim dan Monsun Timur Laut yang kita alami tidaklah seburuk seperti tahun 2014 sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

FREDOLIN TANGANG

Justeru, beliau berpendapat, perubahan iklim boleh mempengaruhi dan mengukuhkan MTL, tetapi kehadiran El Nino mengurangkan impak itu dengan mengangkut kelembapan dari kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Fredolin yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata, banjir kali ini disebabkan oleh hujan ekstrem yang berlaku dalam tempoh panjang.

Ujar beliau, perkara itu disebabkan oleh episod luruan sejuk yang merupakan tiupan angin kencang dari kawasan bertekanan tinggi di kawasan Siberia.

“Angin kencang seperti ini akan merentasi Laut China Selatan dan membawa kelembapan tinggi ke kawasan negeri pantai timur Semenanjung terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Episod luruan sejuk ini adalah fenomena biasa yang berlaku dalam musim MTL dan ia biasa berlaku sekitar lima hingga enam kali setiap musim,” katanya.

Selain dari angin luruan sejuk, Fredolin berkata, hujan ekstrem juga disumbang oleh tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik dan memperkukuhkan lagi angin yang bertiup ke kawasan selatan Thailand, Kelantan Terengganu.

Katanya, tiupan angin itu dilihat mengarah ke Lautan Hindi merentasi kawasan selatan Thailand yang menyebabkan kawasan di sana juga mengalami banjir teruk.

“Tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik ke Lautan Hindi merentasi Semenanjung dan bahagian selatan Thailand berkemungkinan sebagai respon atmosfera kepada sistem tekanan rendah di Lautan Hindi yang berkaitan dengan fenomena Ayunan Madden-Julian atau MJO.

“Angin timuran kencang dari Lautan Pasifik juga berkemungkinan menyebabkan hujan lebat dan banjir di pantai timur Sabah terutama kawasan Sandakan.

“Selain dari tiupan menghala ke Luatan Hindi, tiupan luruan angin juga bertiup ke selatan menghala ke kawasan palung monsun yang kini berada di sekitar selatan Sumatera dan ini menjana penumpuan kelembapan dan hujan di bahagian selatan Semenanjung,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN