SEGAMAT: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi kata dua kepada kontinjen sukan itu di setiap negeri untuk menjalankan ujian doping atlet mereka lebih awal bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, beliau tidak akan teragak-agak untuk menggantung kontinjen yang terpalit dalam isu doping yang jelas mencemarkan imej sukan angkat berat negara.
“Kita memang wajibkan setiap negeri yang ingin terlibat di Sukma bahawa mereka perlu pastikan atlet negeri masing-masing membuat saringan doping.
“Mereka yang kalau ‘tersangkut’ ujian berkenaan maka kita akan ambil tindakan sewajarnya. Jika atlet terlibat terlalu ramai lebih tiga orang dari negeri yang sama, kita akan membuat perkara sama seperti masa yang lepas, kita gantung penyertaan negeri berkait.
“Ini saya ulang lagi sebab bila digantung penyertaan nanti, Majlis Sukan Negara (MSN) negeri merayu dan sebagainya sedangkan kita sudah maklumkan.
“Jadi 2023 kita zero doping. Maka kita harapkan 2024 ini juga kita mengekalkan prestasi yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan Majlis Makan Malam PABM di Hotel VIP, Segamat malam tadi. – UTUSAN