PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu perluaskan untuk turut membantu sektor perniagaan kecil berbanding ketika ini hanya fokus kepada isi rumah dan individu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, jika data komprehensif itu boleh diperluaskan sudah tentu golongan komuniti peniaga dan peniaga kecil akan turut mendapat manfaat.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini sistem PADU hanya memfokuskan individu dan isi rumah dan dari situ kumpulan tersebut akan mendapat bantuan kerajaan ikut kelayakan.
“Masih terlalu awal untuk memberi sebarang andaian dan kita masih menunggu keberkesanan sistem PADU kerana kita perlu tahu perjalanan sistem ini.
“Jika matlamat utamanya untuk mengagihkan bantuan termasuk kepada peniaga-peniaga kecil atau sebagai pangkalan data kepada kerajaan, memang kita sokong,” katanya kita dihubungi.
Kata Norsyahrin, untuk permulaan, mungkin ramai yang tidak mendaftar sistem tersebut kerana masih menunggu keberkesanan sistem tersebut.
Selain itu, kata beliau, pihaknya berharap sistem PADU yang mempunyai maklumat peribadi rakyat selamat dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
“Jika golongan usahawan nampak ada kebaikan untuk mendaftar atau mengemas kini PADU, saya rasa lebih ramai usahawan yang akan mendaftar,” katanya. – UTUSAN










