“TERIMA kasih Indonesia kerana menerima bakat Ernie Zakri kami.”
Demikian antara kata-kata yang memenuhi ruangan komen video Ernie Zakri ketika tampil membuat persembahan di Anjungan Sarinah Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Dalam video yang tular di TikTok itu, Ernie menyanyikan beberapa lagu, termasuk Masing-Masing, antara lagu popularnya dalam album Aura hasil kolaborasi bersama pemuzik Indonesia, Ade Govinda.
Ketika Ernie menyuakan mikrofon dalam sepoi angin petang, penonton yang saling duduk bertingkat-tingkat memenuhi tangga pasar raya itu menyambut lirik nyanyian Ernie, ‘lebih baik kita masing-masing’ dalam senyum, santai, namun meriah dengan iringan gitar.
Kata orang, Tuhan menyimpan rezeki dengan cara-Nya tersendiri kepada seseorang. Rezeki itu tidak boleh dirampas mahupun diambil oleh orang lain.
Bagi pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 itu, Universal Music Malaysia adalah rezeki yang dihantar Tuhan untuk mengubah jalur kerjayanya. Ernie sudah bersedia meninggalkan ‘tempurung’ dan mencari gelanggang baru yang turut siaga menerima bakatnya.
“Di Indonesia, cara nyanyian saya berbeza dengan artis di sana membuatkan mereka menghargai kehadiran saya sebagai sesuatu yang baru untuk diterima.
“Saya gembira bila mereka menunjukkan reaksi ingin mendengar lagu-lagu saya. Berkolaborasi dengan Ade Govinda adalah titik usaha saya untuk menembusi pasaran Indonesia.
“Saya akan berusaha semampunya, namun soal rezeki, saya serahkan semuanya kepada Allah,” katanya yang sudah memperoleh lebih 1.5 juta tontonan untuk lagu Masing-Masing di Youtube.
Syamel selamatkan saya
Menyemak katalog diskografi, tahun 2024 genap 13 tahun Ernie bergelar penyanyi syarikat rakaman selepas album pertamanya Sinaran diterbitkan pada Jun 2011.
Namun sebagai penyanyi, Ernie sudah pun bergulir dengan sepak terajang industri sejak 15 tahun lalu, selepas memenangi program Bintang RTM 2009.
Banyak yang sudah dilalui Ernie, baik pengalaman diabaikan, dikutuk, dianggap tidak laku, diragui bakat sehinggalah perlahan-lahan memenangi kategori Vokal Terbaik di beberapa anugerah berprestij dan menghiasi papan iklan digital tersohor di New York Times Square.
Lebih mustahak, susulan kejayaan wanita itu beberapa tahun belakangan ini, Ernie mula dianggap powerhouse singer, antara barisan penyanyi penting yang mewakili generasinya.
“Semua perkara yang dilalui saya kenang baik-baik. Ada turun dan naiknya, tidak terkecuali hati juga terguris membaca komen di media sosial atau pendapat orang ramai. Saya akui, dulu saya sangat tidak yakin diri, namun semuanya berubah sejak saya mengenali suami, Syamel.
“Dia selalu memberi semangat dan berfikiran matang. Saya sangat beruntung dan bersyukur bertemunya. Sehingga kini, semua perkara saya ceritakan kepadanya sehingga tiada rahsia langsung antara kami.
“Kalau saya tertekan atau menghadapi masalah, saya akan ‘pulang’ kepada suami dan anak. Kerja ialah kerja, tapi yang di depan mata juga sama berharga iaitu keluarga,” jelasnya.
Tahun ini umur Ernie Zakri sudah menginjak angka 32. Ketika wanita lain merasakan masa mereka sudah suntuk ketika memasuki usia 30-an, Ernie bersyukur kerana laluannya sebagai penghibur nampak lebih benderang.
“Saya merasakan 30-an adalah umur yang matang, tidak hanya dari aspek pembawakan diri malah cara nyanyian juga berubah.
“Sejujurnya, saya tidak pernah mengukur diri dengan usia. Bayangkan Datuk Michelle Yeoh memenangi Oscar pada usia 61 tahun.
“Saya tidak risau tentang umur kerana di akhirnya, ini semua tentang masa dan perjalanan masing-masing, bukan tentang usia,” tambahnya.
AJL bukan kayu ukur mandatori
Walaupun dianggap bakal memberi saingan sengit setiap kali namanya muncul sebagai finalis Anugerah Juara Lagu.
Pemegang Ijazah Muzik Universiti Teknologi Mara itu bagaimanapun tidak merasakan kejayaan seseorang penyanyi perlu diukur menerusi pertandingan semata-mata.
“Menang atau tidak Anugerah Juara Lagu bukanlah cita-cita saya. Impian terbesar saya sebagai seorang penyanyi adalah lagu-lagu saya diterima dan juga mendapat penghargaan daripada peminat.
“Saya dan peminat ada hubungan yang sangat rapat kerana mereka sudah lama berada di samping saya.
“Namun jangan salah anggap, tidak salah mendapat apa-apa trofi atau anugerah. Cuma saya tidak kejar anugerah itu kerana ia bukanlah satu-satunya kayu ukur kejayaan seorang artis,” tambahnya.
Ditanya apakah yang boleh dinantikan daripada seorang Ernie Zakri untuk tahun 2024, penyanyi itu berharap agar peminat akan terus mendoakan perjalanannya.
“Kalau saya boleh kongsikan, mungkin yang menjadi cita-cita terbesar saya sebagai penyanyi ialah untuk mengadakan konsert solo serta menghasilkan lebih banyak katalog lagu.
“Itulah harapan dan doa yang setiap hari saya panjatkan. Minta semua aminkan agar berjalan lancar ya,” katanya menutup temu ramah.









