PETALING JAYA: Berdasarkan kedudukan ranking dan keupayaan dimiliki pasukan dalam Kumpulan E Piala Asia 2023, Malaysia adalah pasukan underdog berbanding Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.
Perkara itu kembali diingatkan pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies yang menyedari harapan ‘menggunung’ diletakkan peminat bola sepak negara di bahu setiap pemain menjelang aksi pembukaan berdepan Jordan awal pagi esok.
Bagaimanapun, fakta itu bukanlah ‘tiket’ untuk pemain-pemain negara mencari alasan untuk bermain sambil lewa dan tidak memberi tentangan sengit.
“Kami sedar perkara itu tetapi ini masa terbaik untuk ingatkan kepada semua peminat (Malaysia) tentang kedudukan ranking kita 130 berbanding pasukan lain (Kumpulan E) dan perlu berfikir secara realistik.
“Kita pasukan underdog berbanding Jordan, Bahrain dan Korea Selatan yang merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini.
“Tetapi kami sentiasa positif dan tiada tekanan selepas lebih 40 tahun tidak beraksi di pentas ini. Kami akan beri yang terbaik dan raih sebanyak mungkin pengalaman,” katanya dalam sidang media praperlawanan, semalam.
Ketika ditanya mengenai beberapa bintang Jordan iaitu Musa Al-Taamari, Ali Olwan dan pemain lain, Davies mengakui keupayaan individu dimiliki pemain berkenaan.
Begitupun, tegas kapten Harimau Malaya itu, mereka tidak boleh memberi tumpuan hanya kepada seorang pemain, sebaliknya semua pemain yang beraksi memiliki kualiti tersendiri.
“Seperti saya kata sebelum ini, semua pasukan ada kualiti individu dan kita tidak boleh hanya fokus kepada seorang pemain.
“Ada beberapa pemain Jordan yang bermain di Liga Malaysia, kita keupayaan dimiliki pemain mereka. Kita perlu hentikan mereka semua dan memanfaatkan peluang yang diperolehi sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan,” ujarnya. – UTUSAN