Pengundi Tanjong Karang mahu gerakkan petisyen - Utusan Malaysia

Pengundi Tanjong Karang mahu gerakkan petisyen

Tanjong Karang
ADIB Amat Mustakim bercakap kepada pemberita bagi membantah tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi pada perhimpunan aman di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Suatu petisyen akan digerakkan oleh pengundi-pengundi di Tanjong Karang terhadap ahli parlimennya, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi yang mendakwa dikhianati dengan keputusan beliau mengisytihar sokongan kepada kerajaan.

Gerakan tersebut didakwa akan dilakukan jika Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu tidak memberikan sebarang reaksi terhadap bantahan dibuat penduduk di kawasan parlimen berkenaan.

Timbalan Setiausaha PN Bahagian Tanjong Karang, Adib Amat Mustakim berkata, rata-rata pengundi meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Ketua Bahagian Bersatunya itu yang terlalu jarang membuka pejabat khidmatnya serta bertemu rakyat.

“Hari ini kami hantar memorandum dahulu dan akan mengambil tindakan susulan termasuk menggerakkan petisyen pengundi jika tidak menerima sebarang reaksi daripada beliau sendiri.

“Kami kecewa pejabat khidmat rakyat tak pernah dibuka hampir setahun, beliau sendiri pun jarang bertemu rakyat, pergi ke surau dan masjid ataupun memenuhi undangan ke majlis-majlis tempatan.

“Lebih kecewa apabila mengenang penat, lelah, perit dan jerih kami bekerja untuk memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022 yang merupakan calon PN,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, hari ini.

Terdahulu, lebih 50 pengundi kawasan parlimen itu berkumpul di hadapan pusat khidmat rakyat tersebut dekat Taman Sahabat bagi menyerahkan memorandum kepada Dr. Zulkafperi di sana meskipun beliau tiada di sana dan pejabatnya ditutup.

Isytihar

Sebelum ini, Dr. Zulkafperi mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta merta dengan rela hati atas alasan untuk menjamin kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

Malah dalam kenyataannya, beliau turut menyeru penduduk dan pengundi di Tanjong Karang untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani dan mendoakan agar kawasan parlimen itu mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan.

Bagaimanapun, beliau menerima kritikan dari pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong dan Permatang iaitu Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin dan Nurul Syazwani Noh serta bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Tanjong Karang
ADIB Amat Mustakim bersama Haslina Hassan (kanan) menyelitkan memorandum bantahan terhadap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi pada perhimpunan aman di celah pintu Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Letak jawatan

Dalam pada itu, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Haslina Hassan mendesak Dr. Zulkafperi meletakkan jawatan bagi membolehkan pengundi memilih pemimpin baharu yang berintegriti.

“Hari ini rakyat di sini ditertawakan oleh seluruh negara kerana kebiadapan pemimpin bacul dan tidak berintegriti seperti saudara (Dr. Zulkafperi) yang mengkhianati mandat diberi serta memperkotak-katikkan kepercayaan kami.

“Oleh itu, rakyat Tanjong Karang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan saudara yang jelas mengkhianati kami dan menuntut saudara meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen. Kosongkan kerusi parlimen ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya