KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang pengasuh RM10,000 selepas mengaku bersalah menampar dan mengetuk dahi seorang bayi lelaki berusia 11 bulan hingga menyebabkannya mengalami kecederaan, awal bulan ini.
Hakim Siti Aminah Ghazali turut mengarahkan Norliza Osman, 42, berkelakuan baik dengan bon jaminan berjumlah RM3,000 selama tiga tahun.
Ibu kepada dua anak itu turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Norliza sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga seorang bayi lelaki didapati menganiaya sehingga menyebabkannya cedera di sebuah kediaman di Presint 9, Putrajaya di antara 10 pagi dan 12 tengah hari, 2 Januari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, seorang pegawai perubatan Hospital Putrajaya menerima bayi berkenaan yang dibawa ibu bapanya untuk rawatan.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati bayi berkenaan mempunyai kecederaan lebam dan calar di dahi, pipi dan telinga kanan akibat didera. Tertuduh kemudian mengaku menampar dan mengetuk dahi dan pipi bayi itu sekuatnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd. Latif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Norliza yang tidak diwakili peguam merayu supaya tidak dihukum penjara kerana mempunyai anak masih bersekolah dan kurang upaya serta perlu menguruskan kehidupan seharian. –UTUSAN