Penganjuran festival skala besar lonjak produk usahawan tempatan - Utusan Malaysia

Penganjuran festival skala besar lonjak produk usahawan tempatan

RASHIDI ZINOL (tengah) beramah-mesra bersama pengunjung Absolut Food Fest Penang di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyokong dan menggalakkan lebih banyak penganjuran festival berskala besar bagi membantu serta menyokong usahawan tempatan mengembangkan perniagaan dan produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Rashidi Zinol berkata, kerajaan negeri bersama agensi pelaksana berkaitan juga bersedia menghulurkan bantuan terutama buat anak-anak muda yang menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman.

“Oleh sebab itu, kita sentiasa menggalakkan penganjuran karnival berskala besar seperti ini kerana ia menjadi medan menghimpunkan ramai usahawan muda.

“Selain itu, ia berperanan sebagai platform terbaik untuk mereka menaik taraf dan standard perniagaan masing-masing.

“Gabungan secara holistik seperti ini dapat membantu sesama peniaga, malah kehadiran pelanggan juga penting kerana sokongan mereka dapat membantu menaikkan jenama keluaran anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak Absolut Food Fest Penang di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini, semalam.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin dan berakhir hari ini itu menggabungkan 150 gerai usahawan tempatan dan selebriti tanah air dengan 30 peratus daripadanya terdiri daripada usahawan dari Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai peruntukan malah agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) turut menyediakan bantuan seperti geran dan peralatan mengikut kesesuaian dan kelayakan pemohon.

“Justeru, usahawan muda boleh terus berusaha mengembangkan perniagaan yang dijalankan bagi memastikan ia tidak terhenti separuh jalan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya