Penduduk Gaza terdedah penyakit kudis

Penduduk Gaza terdedah penyakit kudis

PENDUDUK Gaza terutama kanak-kanak kini berdepan dengan risiko penyebaran penyakit seperti kudis, cacar air dan cirit-birit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekejaman Israel yang semakin berterusan dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk berhenti menjadikan rakyat Gaza semakin terdedah dengan risiko penyebaran penyakit berjangkit seperti kudis sekali gus meningkatkan angka kematian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang warga Palestin dan merupakan pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ranaa A. A. Jouda berkata, ahli keluarganya di Palestin berhadapan dengan risiko penyebaran penyakit seperti kudis, cacar air dan cirit-birit.

“Di sana, kebanyakan mereka terpaksa menggunakan air dari sumber yang tidak selamat dan dilaporkan setakat ini, sudah ada laporan kes cacar air, kudis, dan cirit birit disebabkan keadaan kebersihan yang teruk dan penggunaan air yang tidak selamat,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan peperangan berterusan akan mengundang malapetaka besar terhadap 2.3 juta nasib rakyat Palestin di Gaza apabila sistem kesihatan di wilayah itu lumpuh sehingga mengakibatkan wabak epidemik lebih agresif mudah menular, sekali gus meningkatkan kes kematian.

Hal itu disebabkan sejak peperangan yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, sebanyak 304 serangan tentera Israel disasarkan terhadap fasiliti kesihatan di Gaza dengan 94 daripada terjejas teruk.

Daripada jumlah itu, sebanyak 36 hospital di Gaza terpaksa berhenti operasi akibat kerosakan, ketiadaan bahan api dan ubatan-ubatan.

Dalam pada itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, pihak Israel turut melakukan pelbagai kesalahan undang-undang dengan mencuri mayat-mayat rakyat Palestin dari hospital di Gaza termasuk Al-Shifa.

“Dalam situasi ini, rakyat Gaza perlu mengumpul sebanyak mungkin maklumat berkenaan insiden kecurian organ ini untuk dihebahkan ke seluruh dunia.

“Memandangkan pada ketika ini, dengan Israel diheret ke ICJ oleh Afrika Selatan yang disokong oleh negara seperti Malaysia, Arab Saudi dan Turki, maklumat ini dapat membantu untuk menghukum Israel di mahkamah antarabangsa,” jelasnya.

Setakat ini sekurang-kurangnya 23,708 orang terbunuh dan lebih 60,005 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.

Media antarabangsa turut melaporkan, tiga remaja Palestin ditembak mati berhampiran penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.

Di Majlis Keselamatan PBB, ketua kemanusiaan PBB Martin Griffiths berkata kenyataan daripada pemimpin Israel menimbulkan “kebimbangan besar” mengenai “pengusiran penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza”.

Pejabat Media Gaza berkata bahawa tiada bahan api yang tinggal untuk penjana kuasa di Hospital Syahid Al-Aqsa, meletakkan pesakit ICU dan taska pada risiko kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN