Pendengar yang berdikari, pendengar yang mandiri - Utusan Malaysia

Pendengar yang berdikari, pendengar yang mandiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA asasnya, muzik yang alternatif sukar mendapat sokongan infrastruktur muzik yang perdana – seperti media, radio dan televisyen – kecuali jika ia tiba-tiba menjadi popular. 

Hanya dengan angka besar, yang bermakna muzik itu mampu membawa untung besar, barulah apa-apa muzik ditawarkan pelbagai bentuk sokongan untuk terus membesar. 

Ini realiti dunia — macam main Monopoly Go!, hanya dengan dadu besar anda boleh dapat dadu yang lebih besar dan sticker yang mahal-mahal. 

Realitinya juga, muzik yang sukar mendapat sokongan akan terus tersudut dengan angka kecil.

Angka kecil membawa sokongan kecil dan sokongan kecil menyebabkan angkanya pun kecil. Terperangkap dalam gelungan. 

Dalam situasi sebegini, ada dua pilihan yang boleh membawa perubahan. Satu, campur tangan autoriti. 

Yang berkuasa melibatkan diri dan membuka lebih banyak peluang sokongan tanpa melihat keuntungan material. 

Tapi, autoriti mana yang mahu menggalakkan perkembangan muzik alternatif di Malaysia ini? 

Dua, perlu ada perubahan besar pada pemegang taruh utama muzik, yang sanggup memisahkan diri dari kelaziman, melawan trend dan punya jiwa antiseragam. Ini jalan jauh yang kemajuannya kabur dan sukar diukur.

MENDENGAR DENGAN BERDIKARI 

Atas kesedaran tentang isu di atas, saya mahu mencadangkan konsep pendengar yang berdikari. 

Kerana pendengar adalah pemegang taruh terbesar dalam muzik. Selera dan tingkah laku pendengar sering diperhati pemegang-pemegang modal dalam industri. 

Malah, pendengar juga adalah pembelanja dalam ekosistem muzik. Muzik alternatif sangat memerlukan pendengar yang berdikari kerana muzik sebegitu sukar mendapat hebahan media perdana, malah dijauhi algoritma korporat. 

Terutamanya di Malaysia kerana jurang antara muzik alternatif dengan infrastruktur perdana itu lebih luas. 

Pendengar berdikari adalah mereka yang bersemangat untuk meneroka tanpa perlu bergantung pada hebahan media atau algoritma platform penstriman. 

Nyala rasanya pada penemuan muzik baharu, gelinjang ujanya pada muzik yang aneh dan melanggar norma.

PENAFIAN

PENAFIAN Ada dua penjelasan penting perlu disertakan untuk memahami konsep pendengar berdikari dengan baik. 

Pertama, penerokaan tak semestinya berakhir dengan suka. Pendengar berdikari rajin meneroka muzik dan bunyian baharu. 

Namun, mereka tak perlu suka semua yang mereka jumpa. Penerokaan perlu disertai pertimbangan. 

Kalau tak suka, tak apa. Apabila semangat meneroka ditemani kebolehan mempertimbang minat, ini melahirkan kemahiran kurasi. Dengan kurasi, pendengar sepenuhnya berdikari. 

Kedua, tidak bergantung kepada hebahan media dan algoritma tidak bermakna langsung tak ambil peduli. 

Hebahan media dan algoritma perlu dilayan sebagai alat untuk meneroka. Ia membantu menggalakkan penerokaan asalkan kita membuka sempadan penerokaan lebih luas daripada yang dihebahkan media dan dicadangkan algoritma. 

Dan kita tak perlu ikut semua yang dihebah dan dicadangkan. Yang dihebah dan dicadang patut dimasukkan dalam penerokaan lalu dikurasi berdasarkan pertimbangan sendiri. 

Contohnya, apabila Rondivu menyenaraikan 100 lagu terbaik 2023, anda dengar. Tapi anda tak perlu bersetuju. Bina pandangan sendiri tanpa terikat dengan panduan sesiapa.

IMPAK SENARAI PUTAR

Saya  fikir, usaha untuk membina diri sebagai pendengar berdikari boleh bermula dengan sekecil-kecil kerja, iaitu membina senarai putar sendiri. 

Mendengar lagu dengan bantuan algoritma memang lebih mudah tetapi untuk membentuk cita rasa sendiri, kita perlu rajin bina senarai putar sebanyak mungkin. 

Untuk bersenam, cari lagu yang betul-betul beri anda semangat dan persekitaran untuk bersenam, berdasarkan minat anda sendiri. 

Untuk belajar, pilih sendiri lagu-lagu yang menenangkan tanpa terikat dengan cadangan algoritma. 

Kalau media buat senarai lagu terbaik tahunan, anda buat senarai terbaik sendiri. Setiap tahun, bina satu senarai putar penerokaan muzik baharu. 

Ia akan jadi menarik dari tahun ke tahun kerana anda boleh lihat semula kecenderungan penerokaan pada setiap tahun. Apa yang lekat, apa yang dilupakan.

ANTISERAGAM 

Saya pernah tonton satu video tentang seorang lelaki yang menolak untuk hidupnya ditadbir algoritma. 

Dia tak ada akaun media sosial yang berat algoritma. Malah, kalau menonton Youtube pun, dia tak pernah buka video yang dicadangkan, sebaliknya semua yang ditonton dicari sendiri. 

Lelaki itu unik dan saya membayangkan, kalau lebih ramai manusia mengambil sikap seperti lelaki itu, dunia lebih menarik. 

Sebab algoritma korporat yang dioperasikan secara gergasi membentuk cara  kir yang sama pada setiap manusia dan manusia yang ber kiran sama hala sangat membosankan. 

Saya suka manusia unik, yang suka mengambil jalan berbeza, punya pandangan sendiri dan – alternatif. 

Manusia-manusia sebegini akan menggembur tanah yang subur untuk muzik alternatif. 

Kerana keunikan akan dirayakan, perbezaan akan diraikan dan penerokaan akan digalakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya