Pendaftaran PADU di Terengganu masih rendah - Utusan Malaysia

Pendaftaran PADU di Terengganu masih rendah

MARLINI Sahul Hamid (kanan) memberi penerangan mengenai perkembangan pendaftaran PADU rakyat Terengganu kepada Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (kanan) di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pendaftaran pengguna melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Terengganu masih agak rendah berbanding negeri-negeri lain sejak dilancarkan pada 2 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, setakat ini, hanya 29,596 pengguna sahaja telah mendaftar maklumat mereka di sistem tersebut.

Susulan itu, beliau berkata, pelbagai inisiatif telah diatur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar segera mendaftar antaranya melalui pembukaan kaunter fizikal PADU di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.

“Orang ramai boleh berbuat demikian di kaunter fizikal PADU di pejabat Jabatan Perangkaan Negeri dan di 66 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Terengganu.

“Mereka akan dibantu oleh pegawai yang bertugas untuk membuat kemas kini dan bertanyakan secara terus permasalahan yang timbul sepanjang proses pendaftaran itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Majlis Pelancaran Hari PADU Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memberi komitmen untuk memantau prestasi pengemaskinian maklumat PADU oleh 14,457 orang penjawat awam di Terengganu .

“Ini sangat penting bagi memastikan tiada individu yang tercicir dan sentiasa dalam radar kerajaan bagi mendapat manfaat dan insiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya ketika menghadapi musibah dan bencana.

“Maklumat profil ini telah dibekalkan oleh pelbagai kementerian dan agensi yang diintegrasikan ke dalam PADU, selain itu, maklumat individu perlu dikemaskini bagi menggambarkan status terkini rakyat.

“Pengemaskinian semula oleh rakyat akan dapat menjamin kesahihan maklumat dan akan menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar, memperkemas saluran penyampaian dan membolehkan pelaksanaan program yang lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya