Peguam Negara mohon Isham Jalil dipenjara atau denda

Peguam Negara mohon Isham Jalil dipenjara atau denda

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara telah mengemukakan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) agar bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Permohonan yang difailkan pada 28 Disember lalu adalah susulan kenyataan Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil pada satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.

Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Menurut sumber, permohonan itu telah disebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam namun difahamkan Peguam Negara selaku pemohon telah memohon agar hakim berkenaan menarik diri daripada terus mendengar prosiding menghina mahkamah tersebut.

Ini kerana, terdapat beberapa kenyataan dibuat oleh Isham yang dinamakan sebagai responden turut menyentuh mengenai Hakim Sequerah yang ketika ini sedang mendengar perbicaraan kes 1MDB.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan itu dan prosiding hina mahkamah terhadap Isham akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang akan ditetapkan kemudian.

Menurut afidavit yang difail dan dilihat oleh Utusan Malaysia, Isham telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.

Satu laporan polis berhubung temu bual tersebut juga telah dibuat pada 6 Oktober 2023.

Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Kenyataan Isham berhubung rayuan akhir Najib itu antara lain menggambarkan panel hakim tersebut telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.

Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.

Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan.

Turut dimohon ialah perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN