Pasar raya, restoran milik orang Islam diarah tutup hari Jumaat - Utusan Malaysia

Pasar raya, restoran milik orang Islam diarah tutup hari Jumaat

RESTORAN milik orang Islam diarah ditutup setiap hari Jumaat berkuat kuasa Jumaat ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasar raya dan restoran termasuk kedai serta gerai makan milik orang Islam di bandar raya ini diarah ditutup setiap hari Jumaat bermula dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang berkuat kuasa pada 12 Januari ini.

Bagaimanapun, penguatkuasaan tersebut tidak melibatkan premis perniagaan tersebut milik orang bukan Islam kecuali premis yang mempunyai pekerja dalam kalangan orang Islam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap premis perniagaan tersebut dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bermula Jumaat ini.

Menurutnya, restoran, kedai dan gerai makan milik orang bukan Islam pula dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Pengusaha restoran, kedai dan gerai makan milik orang bukan Islam yang mempunyai ramai pekerja Islam juga perlu ditutup pada waktu yang ditetapkan tersebut.

“Sementara itu, premis tersebut yang diuruskan oleh pekerja wanita sahaja, mereka boleh membuat permohonan khas untuk beroperasi dan MBKT akan mempertimbangkannya.

“Mereka perlu membuat akujanji hanya pekerja wanita sahaja yang bekerja sepanjang tempoh penutupan dan kita akan memantau (sekiranya diberi kelulusan operasi),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pengusaha dan pemilik kedai makan yang tidak mematuhi peraturan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan lesen perniagaan.

Katanya, sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat peraturan itu akan menyebabkan premis perniagaan mereka dikompaun sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan dengan merujuk kepada Undang-Undang Kecil berkaitan diguna oleh MBKT.

Ditanya sama ada peraturan itu akan menyusahkan pelancong pula, Rosli berkata, musafir atau pengunjung luar yang ingin berkunjung ke Kuala Terengganu dinasihatkan merancang jadual perjalanan supaya tidak berdepan sebarang kesulitan.

“Kedai makan hanya tutup selama dua jam. Tidak sampai ke petang pun tutup kedai makan maka perlu rancang jadual perjalanan.

“Peraturan ini dilaksanakan setelah mengambil kira pelbagai faktor, kita mahu keberkatan dan pada masa sama tetap mengambil kira kepentingan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya