KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menafikan dakwaan kononnya terdapat 500,000 pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mempunyai pekerjaan.
Pengerusi PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo berkata, tiada bukti kukuh diberikan oleh pihak yang membuat dakwaan tersebut.
“Kami menafikan terdapat seramai 500,000 pekerja asing yang telah masuk ke Malaysia yang tidak mempunyai kerja, sebaliknya angka tersebut mungkin hanya 2,000 sehingga 3,000 orang.
“PAPSMA menganggap dakwaan tersebut adalah pendapat peribadi pihak yang membuat kenyataan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Tambah Yin Choo, dakwaan berkenaan telah membangkitkan keresahan rakyat tempatan berkenaan isu pekerja warga asing yang menganggur.
“Saya harap pihak terbabit tidak akan menggunakan nama PAPSMA lagi untuk membuat sebarang kenyataan yang tidak berfakta,” katanya.
Sementara itu beliau meminta semua pihak tidak membangkitkan isu tanggungjawab pengurusan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Yin Choo berkata, ia disebabkan oleh peranan yang dimainkan kedua-dua kementerian itu berbeza.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, platform tunggal disyorkan bagi mengurus hal ehwal pekerja asing kerana lebih menjamin kecekapan dan ketelusan proses itu berbanding dikendalikan pelbagai agensi di bawah KDN dan KSM.
Ia juga memastikan pelaksanaan dasar mengenai pekerja asing diselaraskan selain menghapuskan pertindihan prosedur pengambilan pekerja.
Selain itu, Foo Yin Choo berkata, permohonan dan pengurusan pekerja asing harus harus diuruskan Kementerian Sumber Manusia manakala isu keselamatan atau pembaharuan permit pula di bawah pengurusan KDN atau Jabatan Imigiresen Malaysia khususnya.
“Kedua-dua kementerian ini harus bekerjasama untuk menguruskan pekerja asing yang masuk dan keluar negara,” katanya. – UTUSAN










