Orang Asli daki bukit dua kilometer cari capaian internet

Orang Asli daki bukit dua kilometer cari capaian internet

PENDUDUK Orang Asli terpaksa mendaki bukit bagi mendapatkan capaian internet di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan. - IHSAN ORANG ASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini mendakwa terpaksa mendaki bukit berjarak dua kilometer dari rumah untuk mendapatkan capaian internet bagi memudahkan perhubungan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, masalah mula timbul selepas berlaku runtuhan tanah di laluan masuk ke penempatan mereka.

Menurutnya, situasi menjadi lebih sukar apabila jalan balak rosak menyebabkan pembekal diesel tidak dapat membuat penghantaran bagi menghidupkan generator dan pencawang telefon di kawasan ini.

“Keadaan tersebut menyebabkan penduduk tidak dapat berhubung melaporkan keadaan mereka sekiranya berlaku kes kecemasan di kawasan pedalaman ketika musim Monsun Timur Laut ini.

“Kebanyakan penduduk kampung terpaksa ke Bukit Kepong di Kampung Barung, Pos Balar yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah semata-mata untuk mendapatkan talian internet kerana sejak lima hari lalu pencawang telefon tidak berfungsi kerana kehabisan diesel,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hanan memberitahu, kebiasaannya diesel akan dibekalkan sekali setiap minggu oleh pembekal.

Katanya, penduduk berharap masalah perhubungan internet ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana risau berlaku kecemasan terhadap penduduk pada waktu malam.

“Kami berharap selepas ini ada usaha lain yang boleh dibuat supaya kami tidak terputus talian komunikasi lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Kelantan berkata, pihak mereka telah mengambil maklum aduan terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN