PETALING JAYA: Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah lama memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada jawatan Setiausaha Agung sekiranya benar wujud dakwaan dua kem di dalam parti tersebut.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, dakwaan wujud dua kem di dalam parti tersebut merupakan satu perkara yang tidak benar.
Kata beliau, Muhyiddin boleh memecat Hamzah sekiranya mereka tidak bersefahaman memandangkan Setiausaha Agung merupakan lantikan yang dilakukan oleh Presiden dan merupakan orang yang paling rapat dengannya.
“Saya tak rasa wujud dua kem sebab saya nampak hubungan dalam Bersatu di peringkat tertinggi sangat rapat dan memang tiada masalah. Malah, semasa Presiden menyatakan hasrat untuk bersara, Setiausaha Agung antara salah seorang yang minta keputusan tersebut dipertimbangkan kembali.
“Kita kena ingat Setiausaha Agung adalah orang yang rapat dengan Presiden kerana ia adalah lantikan Presiden sendiri. Jika benar wujud dua kem, Presiden boleh ambil tindakan untuk memecat dia atau Setiausaha Agung sendiri boleh lepaskan jawatan sekiranya mereka tidak selari tetapi itu tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’ selepas Muhyiddin membuat pusingan ‘U’ ketika mengumumkan akan mempertahankan jawatannya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, kesemua 31 ahli Parlimen Bersatu sebenarnya menyokong Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut untuk memimpin parti tersebut.
Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu mengakui cara pimpinan antara dua pemimpin tersebut berbeza.
“Ada yang suka cara Presiden, ada juga yang suka cara Setiausaha Agung tetapi kedua-dua pemimpin ini bergerak ke matlamat yang sama untuk mengukuhkan parti.
“Cuma mungkin di bawah orang tidak faham keadaan sebenarnya, mungkin mereka membuat tanggapan-tanggapan sebab pergerakan sekarang ini agak terhad kerana banyak perkara mengekang parti.
“Namun, aktiviti perjalanan parti masih lagi berjalan. Ketetapan demi ketetapan dibuat untuk tujuan memperkukuhkan parti. Saya ingat dalam mesyuarat esok (hari ini) mungkin ada pembentangan hala tuju dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN











