KOTA BHARU: ‘Mini Dhaka’ di kawasan pekarangan stesen bas Kota Bharu diserbu pihak berkuasa hari ini.
Kewujudan kawasan itu yang dimonopoli warga asing terutama dari Bangladesh mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan.
Operasi bersepadu seawal pukul 8 pagi itu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tindakan itu jelas memberi kejutan kepada orang ramai berikutan kawasan berkenaan turut menjadi tumpuan rakyat Kelantan mendengar Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu setiap minggu.
Operasi selama tiga jam di sekitar kawasan stesen bas Kota Bharu dan Pasar Pokok Pinang itu menyaksikan ratusan warga asing yang rata-ratanya warga Bangladesh, Rohingya serta Myanmar ditahan untuk diperiksa.
Kesemua warga asing yang ditahan dikumpulkan di satu lokasi berhampiran Hentian Bas Kota Bharu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu untuk pemeriksaan.
Terdahulu tukar video berdurasi 5 minit 16 saat yang memaparkan kawasan itu seolah-olah menjadi ‘Mini Dhakar’ selepas dibanjiri warga asing. – UTUSAN









